KFA harus lebih proaktif

Mohd Sadek Mustafa
Mohd Sadek Mustafa
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) perlu bersikap terbuka menerima peletakan jawatan Muhammad Sanusi Md Nor sebagai presiden walaupun beliau berjaya membantu menyelesaikan beberapa kemelut yang melanda badan induk itu sebelum ini.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, KFA harus segera mencari pemilik baharu selepas selesai melakukan proses penswastaan daripada persatuan bola sepak negeri (FA) kepada kelab bola sepak (FC).

“Saya akui beliau (Muhammad Sanusi) banyak berjasa membantu mengeluarkan KFA daripada kemelut kewangan yang membelenggu skuad Lang Merah sebelum ini dan sebagai presiden, sememangnya beliau telah melaksanakan tanggungjawab berkenaan dengan sempurna.

“KFA perlu melihat peletakan jawatannya dari sudut positif, yakni satu cabaran kepada KFA untuk memacu semula jenama Darulaman FC atau Kedah FC atau sebagainya demi kesinambungan legasi bola sepak Hijau Kuning terdahulu.

“Sebenarnya KFA perlu lebih proaktif mencari pelabur seperti Norizam Tukiman yang mengambil alih The Red Warriors (TRW) daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk memberikan suntikan semangat baharu kepada sukan paling popular dalam kalangan rakyat negeri Kedah ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mohd Sadek percaya terdapat pelabur atau konsortium berminat untuk membeli skuad Lang Merah yang mempunyai kekuatan fan base yang tinggi seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Kelantan dan beberapa pasukan negeri lain.

“Kena ingat bahawa Kedah akan kembali beraksi pada saingan Piala AFC musim depan yang mana ia secara tidak langsung akan menuntut persediaan lebih rapi terutamanya dari aspek bajet beraksi di pentas Asia.

“Jadi untuk beraksi pada peringkat liga domestik dan Asia, pasukan itu sekurang-kurangnya memerlukan bajet sebanyak RM20 juta hingga RM25 juta bagi membolehkan mereka berdaya saing,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Mohd Sadek memberitahu, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu perlu meneruskan momentum positif mereka menjelang saingan TM Piala Malaysia yang dijadualkan bermula pada 25 Oktober ini.

“Kejayaan layak ke saingan Piala AFC pada musim depan adalah sesuatu yang positif dan kesinambungan setelah penjenamaan semula Kedah dari FA ke FC tempoh hari.

“Jadi kini menjadi cabaran kepada Kedah untuk mencipta lebih impak pada Piala Malaysia kerana apabila mereka menjuarai kejohanan itu atau mara ke final, ia secara tidak langsung akan membuka mata kepada pelabur untuk melabur terhadap skuad Hijau Kuning,” katanya.