Al-Qaeda, IS bersaing mendapatkan kuasa

Seorang askar Mali pada Februari lalu mengawal sebatang laluan antara Mopti dan Djenne di negara itu yang mengalami konflik daripada kumpulan-kumpulan Al-Qaeda dan Negara Islam. - Foto AFP
Seorang askar Mali pada Februari lalu mengawal sebatang laluan antara Mopti dan Djenne di negara itu yang mengalami konflik daripada kumpulan-kumpulan Al-Qaeda dan Negara Islam. - Foto AFP
A
A
A

BAGI kebanyakan orang, kumpulan Al-Qaeda dan Negara Islam (IS) mungkin mempunyai matlamat sama untuk menyebarkan undang-undang Islam melalui perluasan wilayah yang ditakluki dan keganasan sehingga membawa maut.

Bagaimanapun, ideologi dan kaedah yang digunakan oleh kedua-dua kumpulan itu adalah saling berbeza.

Pada bulan lalu, IS di Barat Afrika menyiarkan video yang menunjukkan sekumpulan lelaki 'menyembelih' para pejuang yang dipercayai anggota sebuah pertubuhan yang

mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda, Jama'a Nusrat ul-Islam wa al-Muslimin (JNIM) di Mali.

Menurut seorang profesor di Sekolah Siswazah Tentera Laut di Monterey, California, Amerika Syarikat (AS), Mohammed Hafez pertempuran sesama sendiri telah mengorbankan kira-kira 300 anggota jihad di wilayah Sahel, Barat Afrika sejak Julai lepas.

Punca pertempuran itu adalah melibatkan masalah kawalan wilayah atau tentang laluan keuntungan hasil daripada penyeludupan kepada mengisi kekosongan kuasa apabila para pemimpin tempatan telah meninggal dunia.

"Perang saudara antara kumpulan-kumpulan jihad global kini semakin meningkat," tambahnya.

"Pertarungan kumpulan-kumpulan ini telah gagal untuk mengatasi cabaran persengketaan berikutan tekanan konflik dan pengunduran daripada wilayah," tulisnya dalam jurnal CTS Sentinel, Pusat Memerangi Keganasan, Akademi Tentera AS.

Artikel Berkaitan:

"Mereka mengalihkan tumpuan jauh daripada musuh dekat dan jauh sebaliknya mengutamakan pergaduhan musuh yang paling dekat iaitu sesama (kumpulan jihad)," ujarnya.

IS muncul selepas 'debu-debu' satu cabang pergerakan Al-Qaeda iaitu Al-Qaeda di Iraq (AQI) yang sebahagian besarnya telah dimusnahkan oleh tentera diketuai AS dan disokong oleh militia tempatan pada pertengahan 2000.

Namun, IS kemudian mengambil satu pendekatan yang berbeza daripada Al-Qaeda berikutan serangan 11 September 2001 di AS.

Gambar fail menunjukkan beberapa anggota kumpulan Negara Islam di sebuah lokasi yang tidak didedahkan. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan beberapa anggota kumpulan Negara Islam di sebuah lokasi yang tidak didedahkan. - Foto AFP

Al-Qaeda pula menganggap kemusnahan Barat sebagai prasyarat untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

"Namun, IS mahu menubuhkan pemerintahan khalifah di wilayah-wilayah yang telah dibebaskan," kata seorang penyelidik geopolitik, Nathanael Ponticelli dalam tulisannya di jurnal Institut Hal Ehwal Strategik Antarabangsa Perancis (IRIS).

IS juga telah 'menarik semula' pemerintahan khalifah yang diisytiharkannya di Syria dan Iraq pada tahun 2014.

Menurut Hafez, Al-Qaeda sebelum ini berjuang untuk menjadikan kumpulan itu inklusif, pragmatik dan pergerakan pan-Islam yang populis.

Bagaimanapun, katanya, IS pula mewakili sebuah kumpulan yang eksklusif, tidak bertolak ansur dan mempunyai visi jihad yang alim.

Kumpulan IS mendakwa eksklusif itu adalah wajar bagi menghukum golongan 'takfir,' yang mana Muslim menganggapnya telah terpesong daripada ajaran Islam.

"Ketika Al-Qaeda dan lain-lain golongan Islamis berusaha untuk bekerja rapat dengan komuniti mereka sebagai usaha untuk memenangi minda dan hati, IS hanya sedikit mengambil berat tentang komuniti sebaliknya lebih maju mempelopori visi yang berusaha untuk membentuk hati dan minda melalui keimanan bagi membentuk kebaikan serta melarang kemaksiatan," ujar Hafez.

Pada April lalu, IS menyiarkan satu rakaman video yang menunjukkan apa yang diperkatakannya sebagai contoh Al-Qaeda melencong daripada al-Quran.

"Pengisytiharan khalifah telah mencetuskan kebencian untuk (anggota-anggota) Al-Qaeda," kata Thomas Joscelyn daripada Yayasan Pembela Demokratik.

"Adalah munasabah bahawa sebahagian puak di dalam satu kumpulan ketika ini bekerjasama atau mereka akan melakukannya pada masa depan.

"Namun, video itu menunjukkan perdamaian antara dua kumpulan jihad yang bersaingan itu tidak akan berlaku pada masa depan," ujarnya.

Tetapi, kata para pemerhati, dunia Barat tidak sepatutnya mengambil mudah tentang dua kumpulan jihad itu yang saling bersaingan itu.

Sebahagian orang akan 'dipijak-pijak' dalam perjuangan mereka untuk mendapatkan kekuasaan wilayah, pengikut dan perhatian daripada media, kata mereka.

Gambar fail menunjukkan anggota-anggota kumpulan Negara Islam menyerah diri di Afghanistan. - AFP
Gambar fail menunjukkan anggota-anggota kumpulan Negara Islam menyerah diri di Afghanistan. - AFP

"Sejak (serangan) 11 September 2001, masalah kumpulan jihad yang ganas ini ialah ia telah meningkat dalam bentuk skala, skop dan kekuatan keganasan walaupun ia terbahagi dan diburu oleh kuasa besar, perikatan pelbagai negara dan kerajaan tempatan.

"Pada masa lepas, masyarakat antarabangsa telah berurusan dengan hanya sebuah gerakan jihad yang berpangkalan di Afghanistan, hari ini terdapat dua kumpulan dengan cabang masing-masing yang merentangi beberapa wilayah dan negara," tambahnya.

Lebih-lebih lagi, kumpulan jihad telah membuktikan ia boleh merancang operasi dan berjuang menentang musuh walaupun saling berbunuhan sesama mereka.

Seorang penyelidik di Institut Hubungan Antarabangsa Perancis, Elie Tenenbaum, pula berkata, dua kumpulan itu cuba mengatasi antara satu sama lain dan kedua-duanya dipercayai tidak akan mengalami kekurangan anggota.

"Melalui pertempuran, kumpulan-kumpulan itu memperkukuhkan penguasaan malah dapat menawan wilayah yang baharu," katanya. - AFP