Kes bunuh, bakar: Polis temui petunjuk baharu

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Polis mempunyai petunjuk baharu bagi merungkai misteri kematian suami isteri yang dibunuh dalam kejadian di sebuah rumah teres di Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, petunjuk itu diperoleh ketika pasukan penyiasat melakukan dua kali siasatan di lokasi mayat ditemui.

“Namun hasil siasatan di lokasi tidak akan didedahkan kepada umum dikhuatiri akan mengganggu proses penyiasatan,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN :

Suami isteri maut terbakar diklasifikasi sebagai kes bunuh

Jenazah suami, isteri mangsa bunuh dikebumikan

Beliau berkata, polis juga akan memanggil beberapa lagi individu untuk direkodkan keterangannya bagi membantu siasatan.

Isnin lalu, pasangan suami isteri yang bakal bersanding pada Sabtu ini ditemui maut dalam kebakaran di rumah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Hasil bedah siasat terhadap Norwahidah Abdul Hamid, 28, mendapati terdapat kecederaan akibat hentakan benda keras di kepalanya.

Susulan itu, polis membuka sisatan berkenaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Fadzil berkata, polis bagaimanapun masih menunggu laporan bedah siasat suami mangsa, Wan Mohd Baharul Nizam Wan Bakar, 35.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan hajat sepasang suami isteri bersanding tidak kesampaian apabila mereka berdua maut dalam kebakaran di kediaman mereka.

Norwahidah ditemukan di atas katil sebuah bilik manakala Wan Mohd Baharul berada di dalam bilik air.

Difahamkan, mereka merancang untuk mengadakan majlis persandingan sebelah perempuan pada Sabtu ini di Kangar, Perlis dan sebelah lelaki pada Rabu depan di Jertih, Terengganu.

Pasangan berkenaan yang berkhidmat di Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat, JPN Putrajaya juga sudah mengedarkan kad jemputan majlis perkahwinan mereka kepada rakan sepejabat.

Jenazah Wan Mohd Baharul dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tenang, Hulu Besut Terengganu kira-kira jam 8.50 pagi tadi manakala jenazah Norwahidah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Najah Ayer Hitam Kampung Jerlun, Kedah.