Yakini kemampuan KKM

No Image Caption
A
A
A

SEMASA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, seluruh barisan hadapan (frontliner) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusaha keras untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia walaupun risiko jangkitan wabak pada ketika itu adalah tinggi, mereka tidak mengeluh tetapi terus berkhidmat tanpa mengira erti lelah demi kesejahteraan negara sehingga berjaya mengawal penularan jangkitan Covid-19 dalam negara.

Terkini, dalam usaha mengekang krisis dan pandemik wabak Covid-19 yang meningkat dengan ketara, KKM terus berusaha menjalankan pengesanan, pengujian, pengasingan dan memberikan rawatan sepantas yang mungkin sebagai kaedah terbaik menurunkan peningkatan wabak.

Selain mengekang penularan, langkah ini juga dilihat penting untuk membantu negara dalam merangka pelan keluar daripada peningkatan wabak Covid-19 secara berkesan.

Kesiapsiagaan KKM bagi menghadapi gelombang ketiga penularan Covid-19 berada pada tahap lebih tinggi berbanding peringkat permulaan pandemik ini.

Dua faktor penting menjadikan kaedah pengesanan Covid-19 di Malaysia antara terpantas adalah kepantasan petugas kesihatan mengesan kes aktif, selain kesediaan serta kemampuan makmal menguji sampel wabak dengan pantas dan berkesan.

Antaranya, jika disyaki terdapat pesakit tidak bergejala dalam komuniti, pengesanan dan ujian saringan segera akan dilakukan.

Tambahan pula, di seluruh negara, sebanyak 58 buah makmal mempunyai keupayaan untuk menjalankan ujian sampel sehingga 39,000 sehari.

Pertambahan sampel ini adalah susulan pertambahan kes di Sabah, Kedah dan Lembah Klang selain mereka yang pulang dari kawasan berisiko tinggi.

Artikel Berkaitan:

Malaysia pernah mencatatkan kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan sebanyak empat angka pada bulan Mac lalu dan kemudian menjadi satu angka.

Pencapaian memberangsangkan KKM tersebut membolehkan semua sekolah dibuka menjelang penghujung Julai, sebahagian penuntut institusi pengajian tinggi kembali ke kampus dan pada masa yang sama aktiviti ekonomi dipulihkan.

Kini, Malaysia sekali lagi diuji dengan peningkatan kembali secara mendadak kes Covid-19.

Sokong

Justeru, KKM akan terus memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Kawalan sempadan yang ketat, peringatan berterusan kepada masyarakat melalui media sosial, kekerapan membuat ujian, mengesan dan mengasingkan serta mengadakan sidang akhbar harian di samping membuat keputusan dan tindakan berdasarkan bukti dan fakta adalah antara usaha berkesan pihak kerajaan dalam menangani penularan pandemik ini.

Maka, masyarakat harus menyokong usaha dan kerja keras KKM dengan terus mengamalkan normal baharu dan mengekalkan disiplin diri dalam mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi terus mengekalkan kejayaan negara dalam mengawal penularan Covid-19.

Disiplin dan pematuhan masyarakat terhadap peraturan dan SOP ditetapkan adalah kunci utama dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 selain memastikan wabak jangkitan ini dapat dikawal untuk suatu tempoh panjang.

Perlu diingat, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih boleh diambil terhadap individu yang melanggar SOP yang ditetapkan.

Langkah kerajaan mengenakan kuarantin wajib di rumah (HSO) kepada rakyat Malaysia yang pulang dari Sabah dan luar negara juga diharap berjaya mengekang peningkatan kes pandemik Covid-19 di negara ini.

Seluruh rakyat Malaysia dinasihatkan duduk di rumah dan hanya keluar rumah untuk urusan yang perlu sebagai antara usaha penting dalam memutuskan rantaian penularan Covid-19 dalam masyarakat.

Diharapkan momentum semua pihak dalam mencegah Covid-19 akan kekal sehingga membolehkan Malaysia diisytiharkan bebas daripada pandemik Covid-19 suatu hari nanti.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia