Hadiah Aidilfitri buat rakyat Malaysia

Emman mengambil masa 11 minit akhiri cabaran Jarvis. - Foto Arkib
Emman mengambil masa 11 minit akhiri cabaran Jarvis. - Foto Arkib
A
A
A

DISIPLIN tinggi sepanjang Ramadan biarpun berdepan jadual padat, menyaksikan juara Melbourne City Wrestling (MCW) Intercommonwealth, Emman Azman melakar kemenangan kejohanan gusti New Japan Pro Wrestling (NJPW) Tamashii di Australia, Ahad.

Remaja berusia 22 tahun itu mudah mengatasi seterunya dari Australia, Jarvis dengan teknik KL Gold Running Elbow dalam perlawanan yang mengambil masa 11 minit.

Emman lebih dikenali julukan Golden Boy mengakui gembira dengan kejayaan itu dan menghadiahkan kemenangan tersebut kepada rakyat Malaysia sempena Aidilfitri tidak lama lagi.

"Emman berharap akan terus bersinar di Jepun dan mahu satu dunia tahu Emman seorang rakyat Malaysia yang satu-satunya menyertai kejohanan di syarikat gusti Jepun.

"Emman hadiahkan kemenangan ini kepada peminat-peminat di Malaysia sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

"Emman berusaha keras untuk menempa kejayaan ini. Sudah tentu sokongan dan doa ibu dan keluarga sentiasa menyemarakkan lagi semangat Emman untuk mengharumkan nama negara," katanya.

Selepas kejohanan gusti New Japan Tamashii, Emman akan menyertai kejohanan gusti Smashing Pumpkins Tour yang dikelolakan syarikat gusti Amerika Syarikat iaitu National Wrestling Alliance (NWA) pada 23 dan 27 April ini.

"Emman gembira menang menentang Jarvis dalam perlawanan memakan masa 11 minit, apatah lagi mengimbau semula kenangan ketika berumur 17 tahun, sudah pergi ke Jepun untuk menonton perlawanan gusti di sana.

"Memang impian Emman nak jadi ahli gusti profesional, kalau tak WWE (World Wrestling Entertainment) atau AEW (All Elite Wrestling), tetapi sukar untuk percaya yang Emman akhirnya berjaya menjejak kaki bertanding di kejohanan syarikat gusti kedua terbesar dunia, dan menjadi rakyat Malaysia pertama masuk ke New Japan Pro Wrestling," katanya.

Sebagai rekod New Japan Tamashii di Melbourne, pada Ahad mendapat perhatian dunia apabila syarikat NJPW yang ditubuhkan 1972 merupakan entiti sukan gusti terbesar dan popular di negara Matahari Terbit itu selepas WWE.

Sebagai rekod, Emman pernah mengatasi Jarvis dalam perlawanan MCWBlood In TheWater di Melbourne pada 8 April lalu.

Sebelum ini Emman menentang Jarvis buat kali pertama di pada MCW Ascension Tournament, Mei tahun lalu.

Emman mengharumkan nama negara apabila berjaya mempertahankan tali pinggang kejuaraan pada kejohanan gusti ‘New Breed’ di Kuash TTDI, di ibu negara pada pada 18 Februari lalu.

Golden Boy, menewaskan pengusti dari Singapura, Endboss Gregory dengan teknik KL Gold Running Elbow.

Terdahulu Emman Azman menjuarai Intercommonwealth Melbourne City Wrestling (MCW) selepas menewaskan Mick Moretti dan Adam Brooks, pada 26 November lalu.