Waris kesal sekolah tidak patuh SOP

Najmi Ahmad
Najmi Ahmad
A
A
A

ALOR SETAR - Beberapa orang waris sebuah sekolah rendah di selatan Kedah di sini menyuarakan kebimbangan apabila pihak sekolah mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Koronavius (Covid-19).

Seorang waris murid, Hana Suraya Abdullah mengakui berasa kesal kerana pihak sekolah masih menganjurkan program dan perhimpunan untuk diraikan bersama murid ketika berlaku peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

Menurutnya, sejak dua minggu lalu, pihak sekolah menganjurkan dua program tanpa mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya bimbangkan keselamatan anak, sebab saya sentiasa minta anak patuhi SOP ketika di tempat awam. Sebaliknya apabila mereka di sekolah, pihak sekolah seolah tidak ambil berat mengenai pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Hana Suraya berkata, hanya segelintir murid dilihat memakai pelitup muka sepanjang masa dan keadaan itu amat membimbangkan.

“Sepatutnya guru tunjukkan contoh yang baik kepada murid dengan memakai pelitup muka kerana murid terutama Tahun Satu dan Dua masih belum mengerti bahaya wabak itu,” katanya.

Seorang lagi waris, Idris Mat berkata, pihak sekolah harus peka dan memastikan semua murid mematuhi SOP, termasuk pemakaian pelitup muka ketika di sekolah.

“Saya lihat memang tak ramai murid pakai pelitup muka, saya hairan juga sebab wabak Covid-19 masih tinggi di Kedah, tapi masih ada ibu bapa atau guru yang tidak prihatin dengan tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, walaupun daerah terbabit bukan zon merah, namun semua pihak harus sentiasa waspada dan patuhi SOP sepanjang masa.

“Saya harap Jabatan Pendidikan Kedah (JPN) pantau dan kenakan tindakan terhadap sekolah yang abaikan SOP. Kalau ada yang dijangkiti akan melibatkan semua warga sekolah dan menyusahkan banyak pihak,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kebimbangan waris berhubung kealpaan pihak sekolah, Exco Pendidikan negeri, Datuk Najmi Ahmad mengingatkan pihak sekolah agar mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya ingin ingatkan kepada semua pentadbir sekolah untuk patuhi SOP, kita harus ingat SOP tersebut merupakan langkah pencegahan yang terbaik untuk kekang penularan wabak Covid-19,” katanya.

Menurutnya, semua pihak seharusnya memberi komitmen tinggi terhadap pematuhan SOP sebaik mungkin demi keselamatan diri, murid dan keluarga daripada dijangkiti Covid-19.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!