X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Kluster Penjara Reman: Tiga banduan sel sama sah positif

Ujian saringan ke atas semua banduan dijangka selesai hari ini.
A
A

GEORGETOWN - Seramai 18 banduan Penjara Reman Pulau Pinang disahkan positif koronavairus (Covid-19) setakat semalam termasuk yang meninggal dunia minggu lalu.

Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamed Jusoh Ismail berkata, tiga daripadanya yang disahkan positif semalam tinggal dalam sel sama dengan banduan meninggal dunia pada 5 Oktober lalu.

"Terdapat 25 banduan yang tinggal dalam sel sama (dengan si mati) menjadikan jumlah keseluruhan dalam sel itu ialah 26 orang.

"Selepas keputusan ujian saringan terhadap banduan yang meninggal dunia itu positif, kita terus mengasingkan dan kuarantin kesemua banduan tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, 14 tahanan penjara yang tinggal dalam sel sama dengan banduan yang meninggal dunia disahkan positif Covid-19.

Bagaimanapun, tiada petugas penjara yang disahkan positif membabitkan Kluster Penjara Reman itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Banduan meninggal dunia kerana Covid-19

Penjara Reman Pulau Pinang buka pusat rawatan khas

Kluster Penjara Reman: Tujuh lagi positif adalah banduan

Mohamed Jusoh berkata, kesemua yang disahkan positif berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Pulau Pinang.

"Lapan banduan iaitu baki tinggal dalam sel sama setakat ini tidak menunjukkan sebarang simptom atau gejala penyakit itu. Mereka masih dikuarantin dan diasingkan daripada banduan lain.

"Ujian saringan ke atas semua banduan masih dijalankan dan kita menjangkakan akan selesai hari ini. Terdapat 200 hingga 300 orang lagi yang belum menjalani ujian saringan," katanya.

Menurutnya, ujian saringan kedua selepas 14 hari bergantung kepada Kementerian Kesihatan (KKM) sama ada dilakukan atau sebaliknya.

"Sehingga semalam tiada petugas penjara yang disahkan positif Covid-19.

"Saya harap tiada penularan di sel lain kerana kita sudah mengambil tindakan segera selepas mendapat maklumat berhubung banduan yang meninggal dunia itu," katanya.

Katanya, kira-kira 2,300 banduan dan 320 kakitangan terdapat di Penjara Reman Pulau Pinang itu, namun keadaan masih terkawal.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!