Kantoi sorok dadah dalam tin, mesin hampagas

Zaharudin menunjukkan mesin hampagas yang digunakan sebagai tempat menyimpan dadah manakala dua lagi tin turut diubah suai untuk menyimpan bahan terlarang itu.
Zaharudin menunjukkan mesin hampagas yang digunakan sebagai tempat menyimpan dadah manakala dua lagi tin turut diubah suai untuk menyimpan bahan terlarang itu.
A
A
A

MUAR - Menyimpan pelbagai jenis dadah dalam tin dan mesin hampagas menjadi taktik dua individu menyembunyikan kegiatan itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, modus operandi pengedaran dadah yang dilakukan sejak tiga bulan lalu itu akhirnya berjaya dihidu polis.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, dalam kejadian Isnin lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar telah menahan sebuah kereta jenis Honda Civic.

Katanya, hasil siasatan menemui pelbagai jenis dadah disyaki heroin, syabu dan ketamin dibungkus berasingan dalam sebuah tin gas yang diubah suai.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, pada 28 Januari jam 11.45 pagi, sepasukan polis dari IPD Muar telah membuat pemeriksaan terhadap sebuah kereta Honda Civic di hadapan sebuah kedai di Jalan Temenggong Ahmad di sini.

“Dalam pemeriksaan dilakukan telah menjumpai pelbagai jenis dadah dalam tin gas dan pemandu lelaki berusia 51 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang akhbar di IPD Muar, sebentar tadi.

Tambah Zaharudin, ekoran daripada pemeriksaan suspek pertama, polis kemudiannya membuat serbuan di sebuah rumah di Bakri menggunakan serangkai kunci yang ditemui dalam kereta berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Polis telah memasuki rumah tersebut dan menemui seorang lagi suspek wanita berusia 41 tahun. Hasil pemeriksaan kemudiannya menjumpai pelbagai lagi jenis dadah sama yang dalam sebuah tin penyembur racun serangga dan mesin hampagas.

“Kesemua dadah dirampas disyaki jenis heroin seberat 33 gram, syabu 1.28 kilogram dan ketamin 795 gram yang bernilai RM124,300. Dalam masa sama, polis turut merampas kereta Honda Civic dan menyita sebuah lagi kereta Perodua jenis Axia selain wang tunai bernilai RM4,500. Keseluruhan rampasan dan sitaan termasuk dadah adalah bernilai RM213,800,” katanya.

Menurut beliau, saringan ujian awal air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15 (1)(a) ADB dan Sekysen 7 Akta Senjata Api.

Katanya, kedua-dua mereka kini direman tujuh hari sehingga Isnin depan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.