PKPD di asrama pekerja Tropicana

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di asrama pekerja Tropicana Corporation Berhad di Petaling Jaya bermula 12.01 tengah malam Isnin (12 Oktober) hingga 25 Oktober, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD itu bagaimanapun tidak membabitkan kawasan Tropicana Golf & Country Resort.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, pusat beli-belah One Utama juga ditutup selama tujuh hari bermula Isnin bagi tujuan proses saringan individu terlibat dan proses nyah kuman di premis berkenaan.

"Langkah ini adalah bagi mengekang penularan Covid-19, pekerja terlibat seramai 500 orang dan individu yang terlibat di pusat beli-belah seramai 800 orang akan disaring," katanya pada sidang akhbar secara dalam talian di sini hari ini.

Susulan pelaksanaan PKPD itu, beliau meminta agar semua yang terlibat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Empat kes positif Covid-19 dikesan membabitkan pekerja dan seorang pengunjung ke premis di dalam pusat beli-belah berkenaan dan lima lagi kes positif membabitkan pekerja di Tropicana Golf Club & Country Resort.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, semua aktiviti sukan secara sentuhan di kawasan zon merah dan kawasan di bawah PKPD dihentikan buat sementara waktu manakala aktiviti sama di zon hijau dan kuning masih dibenarkan dengan mengikut SOP ditetapkan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 450 individu ditahan hasil operasi pasukan petugas semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara kesalahan tersebut ialah tidak memakai pelitup muka (150), aktiviti di pusat hiburan (91), penjarakkan fizikal (80), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (60) dan terlibat dengan aktiviti pelacuran (21).

Kesalahan lain adalah tangkapan pendatang asing tanpa izin (15), parti liar (10), pelanggaran SOP di kawasan PKPD (21), menggaji pekerja asing tanpa permit (satu) dan satu lain-lain kesalahan.

Ops Benteng pula menahan 49 pendatang asing tanpa izin, merampas sebuah bot dan tiga buah kenderaan. - Bernama