Tumpang kasih nenek

Andansura (kanan) melawat Fakhrul Razi dan Fatihah Aina di rumah nenek mereka di Kampung Sungai Ular, Kuantan kelmarin.
Andansura (kanan) melawat Fakhrul Razi dan Fatihah Aina di rumah nenek mereka di Kampung Sungai Ular, Kuantan kelmarin.
A
A
A

KUANTAN - Dua beradik yang kehilangan ibu selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 34, Jalan Kuantan-Kemaman pagi semalam kini menumpang kasih daripada nenek mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, kedua-dua anak Allahyarham Siti Rohani Sapeai@Shafie, 38, iaitu Fatihah Aina Abdullah, 7, dan Mohd Fakhrul Razi Abd Rahim, 18, kini menetap di rumah neneknya selepas hilang tempat bergantung.

“Saya difahamkan, kedua-duanya adik-beradik berlainan bapa.

“Kini mereka lebih selesa untuk tinggal bersama neneknya (Ramlah Yusof, 62) di Kampung Sungai Ular,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Andansura bersama isteri, Nor Azni Wahab dan Ketua Wanita UMNO Indera Mahkota, Wan Napiah Wan Yusuf mengadakan lawatan ke rumah nenek anak yatim itu di Kampung Sungai Ular semalam .

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang tukang cuci maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, Siti Rohani parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Andansura berkata, selepas kejadian itu tular di Facebook, ramai pihak tampil menyalurkan bantuan termasuk daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Baging, Nurina Jan Mustafa Kamal dan pihak sekolah bersetuju untuk menyediakan tabung kebajikan dengan membuka akaun Fatihah Aina dengan semua akaun itu akan dikawal oleh guru besar dan pihak pengurusan sekolah.

“Tabung ini bagi membantu kanak-kanak ini meneruskan kehidupan. Saya pula akan memberikan bantuan keperluan kepada mereka setiap bulan,” katanya.