Barisan Kabinet Sabah bukan kombinasi mantap

Yusof Yacob
Yusof Yacob
A
A
A

KOTA KINABALU - Pelantikan barisan Kabinet baharu Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dilihat hanya 'kitar semula' cara lama dan tiada pembaharuan.

Bekas Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, secara keseluruhan, barisan Kabinet baharu Sabah bukan kombinasi mantap kerana kebanyakannya terdiri daripada orang baharu yang tiada latar belakang berwibawa dan tiada rekod pencapaian cemerlang peribadi.

Malah menurutnya, pelantikan Pembantu Menteri atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik juga dianggap sebagai jawatan pemberian atau jawatan balas budi semata-mata.

"Jawatan Datuk Mohd Ariffin Arif sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas mungkin relevan dengan kelayakan beliau kerana sebagai menteri yang menjaga agama Islam.

"Tetapi bila saya mengikuti hasil kerja beliau pada masa lalu, maka untuk ada hasil yang baik perlu ada peningkatan lagi dari segi gaya kerja dan usaha beliau terutama dalam menyelesaikan isu berkaitan agama di negeri ini khususnya isu infrastruktur Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan guru agama Islam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin berkata, lantikan Datuk Seri Masidi Manjun sebagai Menteri Kewangan II untuk membantu Ketua Menteri dan Menteri Kewangan I juga dilihat tidak sesuai.

"Masidi memang berkebolehan tetapi bukan pakar kewangan, lagi pula beliau sudah sibuk dengan jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang perlu tumpuan untuk membangun bandar dan pekan seluruh Sabah.

"Jawatan Menteri Kewangan II lebih sesuai diberi kepada orang berkelayakan dan pakar kewangan yang dipilih sebagai ADUN dilantik bagi membantu Menteri Kewangan I," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berhubung lantikan kementerian lain, Yusof berkata, ia juga kelihatan lemah, namun beliau tidak melihat akan dapat hasil cemerlang dalam masa terdekat atau dalam tempoh 26 bulan pertama.

"Ada beberapa orang yang berkualiti, berpengalaman dan berkelayakan tidak masuk Kabinet atau tidak jadi Pembantu Menteri," katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap semua yang dilantik dapat menggunakan peluang diberikan dengan menjalankan tugas dengan baik.

"Saya cuma berharap yang terbaik untuk Sabah. Kita sama-sama tunggu dan lihat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular senarai Kabinet Sabah pagi ini