X

Kindly register in order to view this article
!

Pulau Pinang tangguh bentang usul kosong empat kerusi DUN

Chow Kon Yeow
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang tidak akan meneruskan pembentangan usul untuk mengosongkan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada sidang Dewan Undangan Negeri, Isnin ini kerana situasi terkini wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat setelah melihat kesan buruk daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang mana berlaku peningkatan kes Covid-19 selepas pilihan raya itu diadakan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas membuat banyak pertimbangan dan ia diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang yang dijalankan semalam.

"Selepas beberapa pertimbangan dibuat dalam masa yang mencabar ini, kerajaan negeri melihat bahawa kesihatan dan keselamatan awam rakyat mesti didahulukan.

"Sehubungan itu, MMK Pulau Pinang yang dijalankan semalam memutuskan bahawa kita tidak akan meneruskan pembentangan usul ini pada persidangan akan datang," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, sebentar tadi.

Sebelum ini, terdapat empat ADUN mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

Mereka adalah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (DUN Bertam) dan Zolkifli Md Lazim (DUN Teluk Bahang) serta dua ADUN PKR yang digantung keahlian, Dr Afif Bahardin (DUN Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (DUN Sungai Acheh).

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri yakin usul tersebut akan diperdebatkan secara meluas semasa persidangan yang akan datang.

"Saya juga yakin bahawa Perkara 14A Perlembagaan Negeri akan ditegakkan dengan majoriti yang kuat.

"Kita pasti, jika usul ini dibentangkan, pilihan raya kecil perlu diadakan dalam masa 60 hari namun kerana situasi Covid-19 dan tidak mahu apa yang berlaku di Sabah berulang, maka usul ini ditangguhkan. Ia akan diteruskan pada sesi DUN yang lain ketika keadaan yang lebih sesuai tanpa membahayakan kesihatan orang ramai untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK)," katanya.

Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang sebelum ini berkata, beliau telah menerima satu usul khas untuk mengisytiharkan kerusi ADUN yang telah melanggar undang-undang anti lompat parti itu sebagai kosong.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang masih belum di peringkat untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (TEMCO) kerana keadaan Covid-19 masih terkawal.

"Pada masa ini, tiada keperluan untuk itu (TEMCO). Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menilai situasi dan seterusnya menasihatkan kerajaan negeri jika ada keperluan untuk melaksanakan TEMCO.

"Semua agensi di negeri ini sentiasa dalam keadaan bersiap sedia dalam menjalankan tugas jika situasi Covid-19 semakin membimbangkan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!