Permohonan keluar, masuk menerusi MyTravelPass mulai esok

Khairul Dzaimee
Khairul Dzaimee
A
A
A

PUTRAJAYA - Beberapa kategori permohonan untuk kebenaran masuk atau keluar dari Malaysia bagi warganegara dan warga asing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember boleh dilakukan melalui single window iaitu sistem MyTravelPass yang boleh diakses di laman sesawang rasmi Jabatan Imigresen mulai esok.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, tempoh proses kelulusan bagi permohonan melalui MyTravelPass adalah lima hari bekerja.

Menurutnya, jika seseorang itu perlu masuk atau keluar dari Malaysia pada 10 hari bulan, permohonan MyTravelPass perlu dikemukakan kepada JIM sebelum 5 hari bulan. Permohonan perlu disertakan dokumen sokongan yang berkaitan.

"Kategori permohonan yang boleh dikemukakan melalui MyTravelPass adalah permohonan masuk melalui Singapura Reciprocal Green Lane dan Periodical Commuting Arrangement, permohonan keluar negara oleh rakyat Malaysia atas sebab yang boleh dipertimbangkan dan permohonan masuk oleh warga asing atau penduduk tetap.

"Kategori lain termasuklah permohonan masuk oleh majikan bagi kategori pembantu rumah asing dan pas lawatan kerja sementara, permohonan masuk oleh warga asing kategori pasangan kepada warganegara Malaysia atau pasangan kepada penduduk tetap atau anak kepada warganegara Malaysia atau penduduk tetap, permohonan masuk oleh warga asing ekspatriat dan permohonan masuk oleh warga asing di bawah program Malaysia My Second Home, katanya.

"Kelulusan yang diberikan, sama ada lulus atau gagal adalah melalui e-mel. Mereka yang memberikan deklarasi, maklumat yang salah atau dokumen palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen. Mohon mudah, tapi kelulusan belum tentu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), permohonan keluar masuk ke negara ini oleh warganegara dan warga asing dibuat melalui e-mel Imigresen bagi semua jenis permohonan.

Keadaan tersebut, menurut Khairul Dzaimee, menyebabkan Imigresen menerima aduan tentang kelewatan mendapatkan keputusan kerana terlalu banyak e-mel diterima sehingga 8,000 e-mel pada satu-satu masa.

Artikel Berkaitan:

Khairul Dzaimee berkata, senarai kategori bagi permohonan MyTravelPass itu berkemungkinan dikaji semula selepas PKPP tamat pada 31 Disember depan, namun ia bergantung kepada keadaan ketika itu.

"Bagi warga tempatan dan warga asing yang termasuk dalam kategori dibenarkan keluar atau masuk terus tanpa perlu memohon kelulusan awal, kebenaran ini masih berkuat kuasa dan mereka tidak perlu memohon kebenaran melalui sistem MyTravelPass," katanya.

Sistem MyTravelPass dibangunkan oleh bahagian sistem teknologi maklumat Imigresen dan merupakan satu inisiatif hujung ke hujung perkhidmatan kerajaan untuk memantapkan sistem penyampaian.

Ditanya mengenai penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin, Khairul Dzaimee berkata sehingga 5 Oktober, sebanyak 26,792 orang sudah dihantar pulang dan antara jumlah tertinggi ialah warga Indonesia (11,919), Bangladesh (3,855), Thailand (2,036) India (2,013) dan Myanmar (1,924).

Jumlah tangkapan pendatang tanpa izin dari 1 Januari hingga 6 Oktober ialah 31,323 orang dan jumlah yang berada di depot tahanan Imigresen sekarang ialah 15,626 orang. - Bernama