X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 05 Disember 2021

Perihal tidur awal dan lewat

Paling baik untuk menjaga kesihatan adalah tidur awal dan bangun pun awal.- Gambar hiasan internet
A
A
KALAU tidak kerana seorang rakan yang mengomel, saya tentunya sudah tulis dalam kolum ini mengenai sebab musabab Pakatan Harapan (PH) kecundang di tangan BN di Cameron Highlands baru-baru ini.

Saya sudah pun senaraikan “dosa-dosa” yang dilakukan hingga mengakibatkan calon PH jauh tertinggal dalam pertandingan pilihan raya kecil itu. Saya mahu meluahkan kekecewaan saya dan rakyat terhadap segelintir yang “cakap tak serupa bikin”, yang berlagak seperti “ayam berkokok sekampung, ekor penuh najis” dan yang “kata dulang paku serpih”.

Tetapi apabila dengar rakan saya dah bagaikan menyumpah sambil menggeleng-geleng membaca dan mendengar terlalu banyak komen di surat khabar, televisyen dan sosial media, hilang mood saya hendak campur tangan. Cukuplah merata-rata orang sudah buat analisis dan penggulungan mengenai keputusan panas dari kawasan yang sejuk itu.

Maka, tidak semena-mena terlintas di fikiran saya mahu berkongsi cerita mengenai masalah tidur. Biarlah orang bosan dan terlena membaca komen saya kali ini daripada dicemuh di belakang kerana bosan baca kupasan saya mengenai pilihan raya dan politik.

Mereka boleh baca penulisan lain yang lebih mantap dan berisi daripada komen saya.

Dua hari lalu, saya terkejut mendapat mesej WhatsApp seorang sahabat yang sudah lama juga tidak berinteraksi.

“Dengan sedihnya dimaklumkan isteri saya telah meninggal dunia lepas Isyak semalam,” jelasnya ringkas.

Tentunya saya sedih. Sesiapa meninggal pun kita sedih, inikan pula bekas jiran dan sahabat yang saya kenal lebih 30 tahun. Malam itu saya cuba paksa diri untuk lena awal supaya tidak mengantuk apabila bangun awal untuk ke rumahnya yang hampir 2 jam juga untuk sampai walaupun pada pagi minggu.

Isteri rakan saya sebenarnya sudah kira-kira 5 tahun tidak sihat.

Arwah menghidap sejenis penyakit yang doktor pun payah hendak kesan dan rawat. Tubuh badan nampak sihat, tetapi gerak-geri pendek kata sudah jadi macam bayi.

Makan kena suap, kena dimandikan dan kain baju dipakaikan. Setiap gerak-geri wajib dipantau. Kalau tidak dia jatuh atau terhantuk.

Kalau keluar dia jalan tidak tentu arah. Sebahagian besar dari waktu malam dia tak tidur, bangun merayau dalam rumah, jadi bahaya kepada diri sendiri.

Bayangkanlah selama 5 tahun rakan saya sendiri tidak boleh tidur; terpaksa pantau untuk jaga keselamatan dan makan minum isteri.

Ada kerja terpaksa berhenti, mujur ada sedikit simpanan dan pencen.

Nak keluar solat ke surau pun dia tidak berani.

Ada sekali dia cuba. Lebih kurang 20 minit ke surau selepas ingatkan isteri supaya duduk diam-diam di rumah, tapi bila balik isteri jatuh, kepala terhentak di lantai.

Cukuplah saya berkongsi sedikit mengenai rakan saya itu. Kepada isterinya, saya doakan moga-moga ALLAH kumpulkan bersama mereka yang solehah dan dimasukkan ke syurga. Buat rakan saya, saya tabik kepadanya kerana bersabar dan tabah menghadapi ujian begitu lama, menjaga isteri hingga ke akhir hayat. Banyak pahalanya, insya-Allah?

Seperti saya janji tadi, saya sebenarnya hendak berkongsi mengenai pentingnya tidur. Kata orang dalam dunia ini, ada dua keadaan dan perkara yang ramai orang buat penuh ikhlas. Pertama makan, kedua tidur.

Saya pernah terbaca sebuah artikel mengenai bilakah waktu terbaik untuk kita tidur. Berdasarkan artikel tersebut dan daripada apa yang selalu saya dengar, yang paling baik untuk menjaga kesihatan adalah tidur awal dan bangun pun awal.

Katanya, dalam tubuh kita ada “jam” yang sentiasa berdetik.

Kewujudannyalah yang membuat fungsi dalam badan kita berjalan lancar, termasuk jadual tidur dan bangun kita.

Katanya antara jam 11 malam dan 3 pagi, putaran perjalanan darah kita tertumpu di hati. Hati menjadi kembang apabila dipenuhi dengan darah. Inilah masa yang sangat penting untuk tubuh kita mengalami proses detoksifikasi.

Maknanya, hati kita meneutralkan dan pecahkan toksin yang terkumpul sepanjang hari. Tetapi jika kita tidak tidur pada waktu tersebut, hati kita tidak boleh melakukan proses tadi dengan lancar.

Mudah cerita, kalau kita tidur jam 11 malam dan bangun 3 pagi, badan kita ada 4 jam untuk proses detoksifikasi.

Kalau kita tidur jam 12 tengah malam, ada 3 jam. Semakin lewat kita tidur semakin kuranglah tempoh pemprosesan itu. Jadi, bagaimana jika kita tidur selepas pukul 3 pagi?

Jawapannya mudah tapi membimbangkan. Sekiranya kita terus dengan amalan tidur mengikut corak begini, toksin akan terus bertambah dalam bada dan toksin meracuni badan kita.

Banyak masalah boleh terjadi kepada diri akibat toksin berlebihan; daripada kulit kusam dan berjerawat kepada sakit kepala, letih tanpa sebab, susah bangun tidur dan keliling mata seakan lebam.

Malah ia boleh mempengaruhi emosi kita, kita kerap marah dan sering tidak tenang. Itu antaranya sahaja.

Bagaimana jika kita tidur lewat dan bangun lewat pula? Yang terkesan adalah kita akan rasa letih tidak kira berapa lama kita tidur. Tentunya, tidur lewat dan bangun lewat buruk untuk kesihatan.

Katanya, dari 3 hingga 5 pagi putaran darah akan tertumpu dalam paru-paru. Kalau ini amalan kita, kita perlu banyakkan senaman dan menyedut angin bersih.

Dari jam 5 ke 7 pagi, putaran darah tertumpu dalam urat perut. Tentunya kita patut ke tandas. Antara 7 dan 9 pagi, darah tertumpu dalam perut. Maka kita perlu sarapan.

Dikatakan sarapan paling penting. Tidak menjaga sarapan berkemungkinan mengakibatkan masalah kesihatan pada masa depan.

Kesimpulannya ialah, untuk menjaga kesihatan dan kecergasan, tentukan kita tidur awal dan bangun awal. Wallahuaklam!

* Penulis bekas wartawan yang cenderung menulis mengenai pelbagai isu untuk kepentingan rakyat dan negara


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!