Barca rugi angkara Covid-19

Barcelona nyata terkesan dengan krisis pandemik Covid-19 ketika ini apabila dilaporkan mengalami kerugian sebanyak 97 juta euro (RM474.84 juta) musim lalu.
Barcelona nyata terkesan dengan krisis pandemik Covid-19 ketika ini apabila dilaporkan mengalami kerugian sebanyak 97 juta euro (RM474.84 juta) musim lalu.
A
A
A

KELAB gergasi Sepanyol, Barcelona nyata terkesan dengan krisis pandemik Covid-19 ketika ini apabila dilaporkan mengalami kerugian sebanyak 97 juta euro (RM474.84 juta) musim lalu.

Berdasarkan laporan kewangan yang diumumkan kelab Catalan itu semalam, Barcelona gagal mencapai keuntungan sepanjang musim 2019/2020 sebagaimana yang diunjurkan dalam tempoh tersebut.

"Kesan daripada Covid-19 menyebabkan kami kehilangan pendapatan sebanyak €200 juta (RM979.05 juta). Kerugian sebenar berjumlah 97 juta euro (RM474.84 juta) dan kami tidak mencatatkan keuntungan 11 juta euro (RM53.85 juta) seperti diramalkan," kata Naib Presiden Barcelona, Jordi Moix.

Mengikut unjuran awal, Barcelona menyasarkan pendapatan keseluruhan 1.047 euro bilion (RM5.13 bilion) bagi musim 2019/2020. Namun, disebabkan pandemik Covid-19, mereka hanya mengumpul 855 juta euro (RM4.185 bilion) - kurang 203 juta euro (RM993.74 juta) daripada unjuran.

Akibat daripada kejatuhan pendapatan, Barcelona kini berusaha mengurangkan perbelanjaan dengan melakukan penjimatan sebanyak 74 juta euro (RM362.25 juta).

Jumlah itu termasuklah 42 juta euro (RM205.60 juta) hasil pemotongan 70 peratus gaji yang telah dipersetujui barisan pemain manakala 30 juta euro (RM146.86 juta) melibatkan pihak pengurusan serta dua juta euro (RM9.79 juta) gaji staf bawahan bukan berkaitan sukan.

Di sebalik masalah kewangan yang dialami, Barcelona terpaksa melepaskan pemain pertahanan, Jean-Clair Todibo yang menyertai Benfica secara pinjaman selama dua tahun.

Benfica akan membayar gaji Todibo dan wang pendahuluan sebanyak dua juta euro (RM9.7 juta) selain mempunyai pilihan untuk membeli pemain antarabangsa Perancis berusia 20 tahun itu dengan nilai 20 juta euro (RM97.5 juta).

Artikel Berkaitan: