'Salur jenayah rasuah cara betul bukan dengan surat layang'

Ahmad Faizal ketika berucap merasmikan Seminar Integriti Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya, di sini hari ini. -Foto PEJABAT MENTERI BESAR PERAK
Ahmad Faizal ketika berucap merasmikan Seminar Integriti Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya, di sini hari ini. -Foto PEJABAT MENTERI BESAR PERAK
A
A
A

IPOH - Rakyat di negeri ini digalakkan melaporkan jenayah rasuah melalui saluran yang betul dan bukan melalui surat layang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, peranan masyarakat merupakan usaha memutuskan rantaian rasuah dengan melaporkan sebarang maklumat membabitkan individu yang terlibat tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Menurutnya, masyarakat tidak perlu bimbang kerana pemberi maklumat akan dilindungi di bawah Akta Pelindungan Pemberi Maklumat 2010.

"Kepada mereka yang jujur dan telus dalam melaporkan perbuatan rasuah, janganlah sesekali bersikap ‘membaling batu sembunyi tangan’. Jangan salahgunakan niat kita untuk memerangi rasuah dengan mengambil kesempatan fitnah, demi kepentingan diri atau kelangsungan politik peribadi.

"Lebih malang lagi, apabila ada dalam kalangan kita secara membuta tuli, menyebarkan kandungan fitnah itu di media sosial. Kalau kita baca surat layang, siasat dahulu kesahihan dan jangan panjang-panjangkan," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Integriti Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Zulazlan Abu Hassan; Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Strategik Jabatan Perdana Menteri, Mohd Gunawan Che Ab Aziz.

Sebelum ini, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan satu surat yang tular di media sosial berhubung skandal pemberian tanah yang didakwa mempunyai unsur penyalahgunaan kuasa.

Surat yang diberi nama 'Surat Karam' itu memaparkan beberapa projek penerokaan hutan dan pasir yang didakwa diberikan kepada individu dan dikaitkan dengan Ahmad Faizal.

Artikel Berkaitan:

[Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/100073/EDISI/Perak/Skandal-tanah-Perak-Putra-buat-laporan-SPRM]

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Anti Rasuah Negeri Perak sebagai menyahut Gerakan Pemantapan Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Dalam Urusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia.

Berikutan itu katanya, semua jabatan dan agensi telah diarahkan untuk membangunkan Pelan Anti-Rasuah Organisasi atau lebih dikenali sebagai OACP.

Menurutnya, Majlis Perbandaran Taiping muncul sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang berjaya membangunkan OACP.

Tambah beliau, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama negeri yang menubuhkan Unit Integriti dan Governans serta membangunkan OACP.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan kerajaan Perak telah menghantar maklumat yang diperlukan kepada Pihak Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM pada 27 Ogos 2020 yang lalu selaras hasrat kerajaan Persekutuan melaksanakan penarafan risiko setiap agensi.