Covid-19: Trump keluar hospital selepas empat hari dirawat

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (kanan) dibenarkan keluar selepas dijangkiti Covid-19 dari Hospital Tentera Walter Reed dekat Washington semalam. Foto AFP
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (kanan) dibenarkan keluar selepas dijangkiti Covid-19 dari Hospital Tentera Walter Reed dekat Washington semalam. Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump keluar dari sebuah hospital semalam selepas empat hari menerima rawatan kerana koronavirus (Covid-19) dan menanggalkan pelitup muka ketika beliau tiba di Rumah Putih.

Trump juga berikrar akan kembali meneruskan kempen pilihan raya Presiden AS dengan segera.

Sebelum beliau keluar, Presiden AS itu membuat hantaran di Twitter dengan menyatakan bahawa penduduk negara tersebut yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak perlu berasa takut dengan virus tersebut.

Setakat ini, hampir 210,000 orang di AS meninggal dunia akibat Covid-19 itu.

Dalam satu siaran secara langsung menerusi televisyen, Trump kelihatan berjalan dari Hospital Tentera Walter Reed dengan memakai pelitup muka ke arah sebuah limousin sambil memberikan isyarat bagus.

Beliau kemudian menaiki helikopter Marine One untuk terbang ke Rumah Putih yang telah ditinggalkan pada Jumaat lalu kerana disahkan dijangkiti virus Covid-19.

Selepas mendarat, Trump berjalan menaiki tangga ke balkoni South Portico dan menanggalkan pelitup muka serta memberikan tabik hormat kepada helikopter tersebut yang berlepas dari kawasan Rumah Putih.

Dengan kurang dari sebulan sebelum pilihan raya Presiden pada 3 November depan berlangsung, tinjauan pendapat menunjukkan Trump berada di belakang pencabarnya, Joe Biden malah sukar untuk beliau mendahuluinya selepas dimasukkan ke hospital tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kepulangannya ke Rumah Putih menggambarkan beliau kini cergas manakala satu siri kenyataan di Twitter menunjukkan Trump kembali semula 'melakukan serangan politik' bahawa beliau secara peribadi berjaya 'menewaskan' Covid-19 dan kini mengetuai negara.

"Akan kembali ke kempen (kempen pilihan raya Presiden) secepat mungkin," katanya menerusi Twitter.

"Jangan takut dengan Covid-19," tambahnya lagi dengan mendakwa beliau mendapat 'nafas baharu' selepas pulih daripada virus tersebut.

Bagaimanapun, Trump yang berusia 74 tahun daripada parti Republikan itu keluar dari hospital ketika Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Kayleigh McEnany disahkan positif Covid-19. - AFP