Desakan Exco letak jawatan hanya serangan politik peribadi

Mohd Firdaus Yusoff
Mohd Firdaus Yusoff
A
A
A

SUNGAI PETANI - Desakan Angkatan Muda Kehadilan (AMK) Kedah yang menuntut agar Exco negeri, Azman Nasrudin yang disahkan positif koronavirus (Covid-19) meletak jawatan adalah lebih kepada serangan politik peribadi semata-mata.

Mantan Exco AMK Pusat, Mohd Firdaus Yusoff berkata, kenyataan Ketua AMK Kedah, Mohammed Firdaus Johari itu dilihat sangat mengelirukan dan lebih kepada serangan politik peribadi memandangkan Azman merupakan bekas ahli PKR.

Mohd Firdaus yang juga bekas ahli PKR berkata, kenyataan AMK kononnya Azman melanggar arahan kuarantin adalah tidak benar.

"Arahan kuarantin wajib hanya bermula pada 27 September lalu, namun perjalanan beliau ke Sabah adalah pada 17 hingga 21 September 2020," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Exco Kedah positif Covid-19 dituntut letak jawatan: AMK

Mohd Firdaus berkata, menyamakan tindakan Azman sebagai punca penyebaran seperti Kluster Sivagangga adalah tidak berasas.

"Individu yang menyebabkan penularan Kluster Sivagangga itu melanggar syarat perintah kuarantin wajib dirumah dan dipakaikan gelang berwarna merah jambu, namun situasi itu tidak sama dengan Azman," katanya.

Dakwanya, sehingga 3 Oktober lalu, kira-kira 13,000 pengunjung dari Sabah tiba di Semenanjung sejak 27 September dan kira-kira 130 orang telah disahkan positif Covid-19 yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti pemimpin politik, pelancong, pekerja, pelajar dan sebagainya.

Menurutnya, dakwaan yang mengaitkan isteri Azman sebagai tidak peka dan menjadi punca kepada penularan wabak Covid-19 disifatkan sebagai sangat tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

"Tiada siapa mahu menjadi penyebar virus itu apatah lagi jika yang berjangkit turut terkena kepada keluarga sendiri.

"Sekarang adalah masa untuk kita berganding bahu melawan virus Covid-19 dan bukan waktu menyalahkan sesiapa atas apa yang berlaku," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Mohammed Firdaus mendesak Azman meletak jawatan serta memohon maaf kepada rakyat Kedah berikutan gagal mematuhi SOP selepas kembali dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 kerana didakwa menjadi pencetus penyebaran wabak sehingga menjangkiti pihak lain.

Dalam kenyataan sama, Mohammed Firdaus mencadangkan agar Azman didakwa mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana ingkar SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagaimana tindakan dikenakan terhadap individu yang menjadi pencetus merebaknya Kluster Sivagangga sebelum ini.