X

Kindly register in order to view this article
!

'Tanpa hala tuju UMNO bakal hilang pengaruh'

Syed Agil Alsagoff
A
A

SHAH ALAM - Kewibawaan dan pengaruh UMNO ketika ini banyak bergantung kepada hala tuju kepimpinan parti itu sebagai sebuah parti terbesar di negara ini.

Penganalisis politik, Syed Agil Alsagoff berkata, kepemimpinan UMNO perlu berdasarkan kesepakatan semua pemimpin untuk membangunkan parti dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat.

"UMNO perlu ada perancangan hala tuju yang lebih komprehensif mengikut suasana politik di negara ini, menyasarkan rakyat pelbagai kaum dengan menyantuni budaya mereka.

"Itu termasuk pemikiran masyarakat dengan strategi politik sederhana, tidak ekstrem dan lebih penting ialah menyingkirkan persepsi masyarakat terhadap kepimpinan UMNO yang bermasalah sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau mengulas gesaan ahli dan pemimpin kanan parti itu terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya memberi pedoman dan hala tuju jelas termasuk dalam kerjasama dengan pesaing politiknya.

Menurutnya, dalam konteks Presiden UMNO, Ahmad Zahid harus mengembalikan semula kepercayaan akar umbi dan masyarakat untuk terus memimpin UMNO mengikut rentak pemikiran dan perlakuan mereka.

Katanya, kepercayaan itu perlu dipertingkatkan lebih-lebih lagi apabila masyarakat dibelenggu dengan masalah sosioekonomi ketika berdepan dengan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Kurang keyakinan masyarakat terhadap budaya politik kepartian juga dilihat tidak konsisten dari segi strategi politik dan hilang 'ampuh' dari segi kewibawaan UMNO untuk terus memperjuang prinsip politiknya.

"(Ahmad) Zahid harus menyusun, menyatukan kembali barisan kepimpinan tertingginya dengan memasang perancangan strategik memulihkan nama baik dan maruah parti dalam kalangan masyarakat," katanya.

Syed Agil berpandangan antara perancangan yang boleh dibuat Ahmad Zahid ialah dengan menyeragamkan komunikasi dalaman parti terutama membabitkan pemimpin parti tersebut.

"Apa yang berlaku sekarang menunjukkan terdapat percanggahan dalam komunikasi pemimpin-pemimpin parti sehinggakan menjurus parti dalam krisis komunikasi.

"Penyusunan hala tuju parti juga harus dilaksanakan secara strategik, jelas dan difahami oleh ahli dan masyarakat," kata Syed Agil.

Menurutnya, ia juga boleh mengelakkan kekeliruan dalam kalangan ahli yang sebilangan daripadanya tidak melihat UMNO berada pada paksi untuk memperteguhkan prinsip politik perjuangannya.

"Sebaliknya apa yang diperhatikan ialah UMNO sering tidak konsisten dengan prinsip perjuangan parti dan mengekalkan hubungannya dengan Muafakat Nasional dan bagaimana menghadapi parti-parti lain dalam BN," katanya.

Terdahulu, ahli parti di peringkat akar umbi kecewa terhadap pendekatan diambil Presiden UMNO yang dilihat kurang tegas dalam perkara berkaitan masa depan parti terbesar Melayu itu.

Bagaimanapun, ramai ahli UMNO yang dihubungi Sinar Harian enggan menzahirkan perkara itu secara terbuka kerana menyifatkan ia wajar dibincangkan secara tertutup.

Sebelum itu gesaan secara terbuka dizahirkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berpandangan pendekatan sedia ada didakwa mengecilkan peranan dan melemahkan parti itu sendiri.

Beliau berkata, ia terbukti berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menyaksikan UMNO menguasai Sabah selama 27 tahun bertukar menjadi pemain politik terpencil dalam Gabungan Rakyat Sabah.

Sehubungan itu, Mohamad berpandangan UMNO perlu memikirkan semula strategi dan kerjasama politiknya termasuk menimbang semula sama ada hanya perlu bersama Pas dan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam respons terhadap kenyataan Mohamad berkata, perkara berkaitan isu hala tuju parti adalah isu penting dan tidak sesuai untuknya bercakap atau memutuskannya tanpa persetujuan bersama pimpinan parti.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid meminta pemimpin parti memberi pandangan apabila isu berhubung hala tuju parti selepas PRN dibincangkan di dalam Biro Politik UMNO dan dibawa ke Majlis Tertinggi UMNO.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerjasama politik UMNO tidak menguntungkan, kata Tok Mat

UMNO bincang hala tuju parti dalam MT


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!