'Saya mohon maaf terpaksa keluar kuarantin'

Kenyataan Amirudin menerusi Facebook dimuat naik sebentar tadi.
Kenyataan Amirudin menerusi Facebook dimuat naik sebentar tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menjalani kuarantin di rumah terpaksa keluar bertugas bagi menyelesaikan isu pencemaran yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat negeri ini.

Difahamkan, Amirudin bertindak demikian bagi menyelesaikan isu gangguan bekalan air membabitkan daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang susulan pencemaran air mentah di Sungai Semenyih.

"Saya mohon maaf terpaksa keluar daripada kuarantin malam ini untuk menyelesaikan isu pencemaran yang memberi kesan pada kehidupan rakyat Selangor.

"Saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai ‘face shield’, ‘face mask’ juga kedua-dua ujian saringan saya menunjukkan keputusan negatif," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Facebook selepas meninjau situasi pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih bagi yang berlaku petang tadi yang turut dihadiri Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat daerah berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual

Amirudin memaklumkan, berdasarkan taklimat dan siasatan awal, punca pencemaran adalah dari kawasan perindustrian di Negeri Sembilan.

"Punca pencemaran adalah sejauh 30 kilometer dari LRA Sungai Semenyih. Punca pencemaran dikesan di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan. Saya sudah berhubung dengan Menteri Besar Negeri Sembilan untuk bersama menyelesaikan isu ini.

Artikel Berkaitan:

"Usaha sedang dilaksana bagi membersihkan sumber air dan memulihkan bekalan air secepat mungkin," katanya.

Pada 29 September lalu Pejabat Menteri Besar Selangor memaklumkan Amirudin disahkan bebas Covid-19 setelah menjalani kuarantin di rumah bagi mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebaik kepulangan beliau dari program di Sabah.

Keputusan tersebut hasil daripada ujian RT-PCR (Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction) yang dijalankan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 28 September lalu.

Kenyataan itu memaklumkan sebarang bentuk program Amirudin yang melibatkan pendampingan komuniti akan diwakilkan kepada Exco manakala mesyuarat-mesyuarat utama akan dipengerusikannya secara dalam talian berkuat kuasa serta merta dan berterusan sehingga hari ini (4 Oktober 2020).