X

Kindly register in order to view this article
!

Produk batik bermotifkan pokok sintok

Kakitangan UUM melihat batik yang dipamerkan di Cyntok Bhatik Roadshow di UUM baru-baru ini.
A
A

SINTOK - 'Cyntok Bhatik' Roadshow menjadi platform baharu kepada usahawan tempatan dalam usaha memperkenalkan dan mengembangkan produk batik bermotifkan pokok sintok kepada warga Universiti Utara Malaysia (UUM).

Penyelidik Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Dr Adzira Husain berkata, jerayawara anjuran SCIMPA itu berlangsung selama dua hari bermula 28 September lalu di Foyer Canselori dan Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM di sini.

Menurutnya, jerayawara tersebut bertujuan memperkenalkan produk Cyntok Bhatik yang sarat dengan motif pokok sintok yang terdapat di UUM kepada seluruh warga kampus.

"Menerusi program itu, SCIMPA menjemput usahawan yang terlibat dalam perusahaan batik untuk memberi perkongsian dan penerangan sambil menjual produk mereka," katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Menurutnya, 'Cyntok Bhatik' Roadshow adalah rentetan daripada Projek Baju Kedah Cyntok Bhatik yang bermula sebagai projek penyelidikan kini antara projek awal yang berjaya dikomersialkan dan berstatus TRL 7.

“Alhamdulillah, projek itu berjaya menarik minat usahawan dari Kedah dan Kuala Lumpur untuk terlibat secara langsung antaranya Che Ah Enterprise, Liyana Batique Collections dan Arena Cipta Sdn Bhd.

“Ketiga-tiga usahawan itu membeli motif Cyntok Bhatik secara berlesen untuk dijadikan motif utama produk syarikat mereka,” katanya.

Dua orang pengunjung sedang memilih kain batik kegemaran mereka
Dua orang pengunjung sedang memilih kain batik kegemaran mereka

Katanya, pasukan penyelidik bertekad untuk meletakkan jenama Cyntok Bhatik di pasaran luar, seterusnya menjadikan Cyntok Bhatik keluaran UUM sebagai sebahagian daripada produk kebanggaan negeri Kedah.

Sementara itu, pempamer, Basirah Abu Bakar yang dikenali sebagai Che Ah menjual cenderamata berasaskan motif Cyntok Bhatik, selain menerima tempahan pukal, runcit dan ubah suai pakaian.

Penglibatannya dengan Cyntok Bhatik bermula apabila terpilih sebagai usahawan yang boleh menghasilkan produk Cyntok Bhatik dari Pendang sebagai daerah kajian Baju Kedah Batik Sintok oleh SCIMPA.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada UUM kerana menyediakan satu platform untuk membantu usahawan seperti kami, tambahan pula di saat-saat pandemik Covid-19 sehingga ramai peniaga yang terjejas serta hilang sumber pendapatan.

“Saya seorang tukang jahit dan memang minat dengan batik. Menerusi kerjasama dengan UUM, saya dapat meluaskan kreativiti untuk menghasilkan pelbagai jenis barangan cenderamata seperti beg, pakaian, bingkai dan hadiah yang sesuai untuk pelbagai majlis,” katanya yang juga Pengerusi Kumpulan Jahitan Pukal Usahawan Risda Pendang.

Che Ah juga mengakui sangat bersyukur apabila hasil sentuhannya turut mendapat perhatian pihak Istana Anak Bukit yang kini dalam proses untuk disiapkan.

"Saya berasa amat berbesar hati kerana hasil kerja saya mendapat perhatian pihak istana dan saya percaya usaha ini bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan buat orang kampung," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!