Saran pengecualian duti setem kepada semua pembeli rumah

Datuk Toh Chin Leong
Datuk Toh Chin Leong
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berharap kerajaan Persekutuan mengenakan pengecualian duti setem selama enam bulan kepada semua pembeli rumah dan bukannya pembeli rumah pertama kali sahaja.

Pengerusi REHDA Pulau Pinang, Datuk Toh Chin Leong berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan tersebut ke Putrajaya untuk dipertimbangkan.

Menurutnya, REHDA mengalu-alukan tindakan Putrajaya yang memperkenalkan pengecualian duti setem untuk pembeli rumah pertama kali namun berharap agar ia dikenakan kepada semua pembeli.

"REHDA amat berbesar hati apabila pengecualian ini dikenakan kepada pembeli pertama bagi rumah berharga di antara RM300,001 hingga RM1 juta selama enam bulan.

"Namun, kami juga memohon agar kerajaan mempertimbangkan ia juga dikenakan kepada semua pembeli supaya stok rumah yang tidak terjual boleh 'dibersihkan'," katanya kepada media.

Beliau berkata, REHDA juga memohon agar kerajaan Persekutuan menaikkan julat harga agar pengecualian boleh dikenakan kepada mereka yang membeli hartanah dari RM300,001 hingga RM2 juta.

"Kami juga memohon agar julat harga dibesarkan kerana sebelum ini, di antara RM300,001 hingga RM1 juta sahaja. Sekarang, kami mohon harga itu sehingga RM2 juta.

"REHDA sedang menunggu berita gembira dari Kementerian Kewangan yang dijangka akan dibuat Khamis ini berhubung lanjutan pengecualian ini. Malah Kementerian Kewangan dan Kementerian Perumahan dijangka akan membuat lebih banyak pengumuman pada hari sama dalam Kempen Pemilikan Rumah di seluruh negara sebagai usaha memacu industri perumahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas pengumuman Kerajaan Pulau Pinang berhubung pemansuhan tiga peratus fi kelulusan untuk pembeli warga asing bermula 1 Februari ini, Chin Leong berkata, tempoh itu terlalu singkat.

"REHDA ingin merayu kepada kerajaan negeri agar melanjutkan tempoh pemansuhan itu sehingga 30 Jun kerana kita memerlukan masa untuk mempromosikan hartanah dan mendapatkan pembeli. 1 Februari tidak cukup kerana pembelian hartanah mengambil masa yang panjang.

"Pasaran hartanah agak perlahan sejak dua tahun yang lalu tetapi Pulau Pinang masih merupakan tempat yang tepat untuk melabur dalam hartanah," katanya.

Terdahulu, Chin Leong meminta orang ramai untuk menyertai Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) yang akan diadakan bulan hadapan bermula 7 hingga 10 Februari di Udini Square, Gelugor.