X

Kindly register in order to view this article
!

RM200 juta naik taraf kemudahan di Pulau Sibu, Pulau Besar

Asman (dua dari kiri) dan Ammar (tengah) menyerahkan replika cek kepada pemenang selepas program Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2020 do Dataran Mersing, Mersing hari ini.
A
A

MERSING - Kerajaan Johor akan memohon peruntukan sebanyak RM200 juta dalam Rancangan Malaysia ke-12 untuk menaik taraf kemudahan di Pulau Sibu dan Pulau Besar di sini.

Pegawai Daerah Mersing, Asman Shah Abd Rahman berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk menyediakan bekalan air dan utiliti di kedua-dua pulau itu yang terkenal di peringkat antarabangsa.

"Kita akan mohon peruntukan ini daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dalam masa terdekat. Dua pulau tersebut diberi keutamaan kerana dekat dengan tanah besar (bandar Mersing).

"Terdapat 93 buah pulau di Mersing dan hanya lima pulau mempunyai penghuni serta dibangunkan sebagai destinasi pelancongan," katanya dalam sidang akhbar selepas program Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2020 di Dataran Mersing di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kanan Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghappar dan Timbalan Pengarah Tourism Johor, Afzan Azhari.

Beliau berkata, pihaknya juga merancang membangunkan pulau lain yang mempunyai keistimewaan sendiri contohnya Pulau Rawa yang memiliki dasar menarik untuk aktiviti menyelam.

Begitu juga katanya, Pulau Tinggi yang sesuai untuk pelbagai kegiatan riadah dan pelancongan manakala Pulau Pemanggil untuk aktiviti memancing.

Sementara itu, Dr Ammar berkata, industri pelancongan Johor terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan Malaysia-Singapura.

Menurutnya, terdapat 10 hotel di Johor iaitu lapan di Johor Bahru dan dua di daerah ini ditutup kerana tidak dapat bertahan dalam keadaan yang amat mencabar ketika ini.

Justeru, beliau menggalakkan pelancongan domestik dengan menarik rakyat tempatan untuk melancong di negeri ini dan tidak perlu bergantung kepada pelancong terutama dari Singapura yang merupakan penyumbang utama sebelum ini.

Beliau berkata, pakej menarik dengan menyasarkan penjawat awam dari negeri lain untuk melancong ke Johor sudah pun dilancarkan dan mendapat maklum balas yang positif.

"Ini kerana mereka kurang terkesan dengan pandemik koronavirus (Covid-19) berbanding mereka yang bekerja swasta," katanya.

Pada masa sama, beliau sedang berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memberikan insentif kepada pengusaha pelancongan di negeri ini dalam membantu mereka untuk terus bertahan.

Insentif itu katanya, akan diberikan minggu depan sebelum disalurkan menerusi persatuan-persatuan pelancongan untuk diagihkan kepada pengusaha pelancongan yang berdaftar di bawah mereka.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!