Covid-19: Malaysia catat kes harian tertinggi, satu kematian

 DR NOOR HISHAM
DR NOOR HISHAM
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia hari ini mencatatkan kes harian positif wabak koronavirus (Covid-19) tertinggi dengan 317 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes yang dilaporkan itu membabitkan penularan dalam negara.

"Kesemua 317 kes adalah kes penularan di dalam negara yang melibatkan 303 kes dalam kalangan warganegara dan 14 kes bukan warganegara.

"Daripada 317 kes tersebut, sebanyak 37 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah.

"Ini menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 sebanyak 176 kes," katanya pada sidang media berhubung situasi semasa jangkitan penyakit Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 121 kes yang telah pulih Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 10,216 kes atau 84.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Sehingga kini, terdapat 29 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, terdapat satu kes kematian baharu menjadikan angka keseluruhan kes kematian meningkat kepada 137 kes atau 1.13 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Artikel Berkaitan:

"Kes kematian ke-137 iaitu kes ke-10939 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 57 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia.

"Kes mula mengalami gejala batuk, kurang selera makan, dan demam sejak 10 September 2020. Pada 24 September 2020, kes mengalami sesak nafas dan telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Semporna.

"Keadaan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 2 Oktober 2020 jam 11.44 malam," katanya.