Tadika, taska di Pulau Pinang boleh beroperasi seperti biasa

Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) di Pulau Pinang dibenarkan beroperasi seperti biasa. Foto 123RF
Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) di Pulau Pinang dibenarkan beroperasi seperti biasa. Foto 123RF
A
A
A

GEORGE TOWN - Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) di Pulau Pinang dibenarkan beroperasi seperti biasa, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Chong Eng.

Beliau berkata, walaupun terdapat sekolah yang diarahkan tutup berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di Kepala Batas dekat Butterworth, baru-baru ini, namun, tiada arahan penutupan operasi bagi taska dan tadika di negeri ini.

"Walaupun taska dan tadika masih dibenarkan beroperasi, namun kerajaan negeri sentiasa menyeru rakyat negeri ini supaya patuh segala prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti yang ditekankan kerajaan bagi memastikan rantaian penyakit itu dapat diputuskan," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Khamis lepas, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang mengalahkan Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus, Kepala Batas ditutup Sehingga 8 Oktober berikutan seorang guru wanita positif Covid-19.

Terdahulu, Chong merasmikan Program Mentor Usahawan Wanita Pulau Pinang (PWEMP) yang julung kali diadakan khusus untuk usahawan wanita dari golongan B40 dan M40, sebagai platform dalam menerokai dunia perniagaan.

Chong yang juga merupakan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) berkata kerajaan negeri menyasarkan 40 peratus perniagaan kecil dan sederhana akan dimiliki oleh usahawan wanita menjelang tahun 2030.

"Berdasarkan data terbaharu SME Corporation Malaysia (SME Corp) pada 2016, hanya 16 peratus atau 10,516 perniagaan di Pulau Pinang dimiliki oleh wanita...jadi, untuk mencapai sasaran 40 peratus menjelang tahun 2030, kita memerlukan anggaran lebih daripada 100,000 usahawan wanita yang berdaftar," katanya.

Katanya, bagi mencapai sasaran tersebut ia turut melibatkan beberapa rakan kerjasama seperti WomenBizSENSE, Yayasan Kemajuan Sosial Malaysia, JCI Pearl, Persatuan Usahawan Wanita Kebangsaan Malaysia (NAWEM), Pertubuhan Pembangunan Wanita Tamarai Pulau Pinang, SME Corp, DMC serta Dewan Perniagaan Wanita Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

"Melalui program PWEMP ini, sebanyak 116 menti daripada kumpulan B40 dan 40 menti daripada kumpulan M40 telah ditawarkan menyertai program ini yang memberi fokus kepada pemasaran dalam talian kewangan, perniagaan alaf Revolusi Industri 4.0 dan lawatan tapak ke kilang sebagai pendedahan kepada peserta.

"Program berlangsung enam bulan iaitu pada setiap Sabtu bermula 2 petang hingga 6 petang dengan 34 mentor dengan pelbagai latar belakang pemain industri dilantik," katanya. - Bernama