Kegagalan Tommy memalukan, tidak boleh diterima

Tommy
Tommy
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegagalan Peguam Negara, Tommy Thomas menasihati perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong dalam isu tribunal khas melibatkan enam anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah memalukan dan tidak boleh diterima.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kegagalan itu mencemar nama baik institusi Peguam Negara, Istana Negara dan kerajaan secara keseluruhannya.

Menurutnya, kerajaan bukan sahaja dilihat mengambil tindakan sia-sia tetapi tidak peka dengan fakta apabila tetap meneruskan prosiding tribunal meskipun selepas enam pesuruhjaya SPR yang terlibat telah meletak jawatan.

“Umno mengutuk dan dengan ini menggesa sekeras-kerasnya Peguam Negara untuk mengambil tanggungjawab penuh berhubung kegagalan besar beliau dalam perkara yang sangat memalukan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, Peguam Negara bukan sahaja memberi nasihat berkaitan undang-undang tapi memastikan nasihat itu sesuai, tepat dan praktikal dengan konteks semasa.

Jelasnya, jika berlaku sebarang perubahan fakta, Peguam Negara bertanggungjawab memaklumkan perkara tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong dan pihak berkaitan.

“Kegagalan Peguam Negara telah menyebabkan tribunal yang ditubuhkan tersebut sekadar bersifat akademik, sia-sia dan tidak memberikan apa-apa kesan yang produktif.

“Malah ia menyebabkan berlakunya pembaziran masa dan sumber negara,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Mengimbas kembali penubuhan tribunal tersebut, Mohamad berkata, Peguam Negara menasihati perdana menteri seterusnya Yang di-Pertuan Agong berhubung keperluan menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat samada wujud salah laku melibatkan enam anggota SPR dalam PRU14.

“Jika didapati bersalah, mereka berenam boleh dilucutkan jawatan. Atas nasihat Peguam Negara, Tribunal ini ditubuhkan Kerajaan Malaysia.

“Malangnya, Peguam Negara kemudiannya terlepas pandang atau gagal memberikan nasihat perundangan yang terkini dan tepat kepada Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong selepas keenam-enam pesuruhjaya yang dinamakan meletak jawatan,” katanya.