Usia muda tidak halang gadis buka studio solekan sendiri

Puteri Nur Syahirah Fazin, 24, sentiasa meningkatkan kemahiran dengan mempelajari teknik terbaharu bagi menambah baik kualiti solekannya. - Foto Bernama
Puteri Nur Syahirah Fazin, 24, sentiasa meningkatkan kemahiran dengan mempelajari teknik terbaharu bagi menambah baik kualiti solekannya. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Berbekalkan minat yang mendalam terhadap bidang solekan, seorang gadis dari Kuala Sungai dekat sini memberanikan diri membuka studio solekan pada usia 18 tahun menggunakan duit simpanan sendiri.

Enam tahun berlalu, Puteri Nur Syahirah Fazin, 24, kini boleh berbangga dengan pencapaiannya sebagai seorang jurusolek yang bukan sahaja pernah menyolek artis tempatan tetapi juga diberi kepercayaan menganjurkan program realiti Ikonista Muslimah peringkat Kedah pada 2015.

Berkongsi pengalamannya, Puteri Nur Syahirah berkata, keyakinannya untuk menjadikan bidang tersebut sebagai kerjaya tercetus selepas menyolek pelanggan pertama pada usia 15 tahun.

“Saya menyolek seorang kakak yang mahu menghadiri majlis makan malam dengan bayaran RM30 dan dari situ saya memberanikan diri mengambil upah solek untuk majlis perkahwinan.

"Selepas saya habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya mengambil keputusan membuka studio solekan pertama di Kompleks Perniagaan Wantas sebelum berpindah ke Kompleks Perniagaan Mergong Jaya sekarang ini," katanya.



Berbekalkan minat yang mendalam terhadap bidang solek, Puteri Nur Syahirah Fazin, 24, memberanikan diri membuka studio solekan bermodalkan simpanan sendiri ketika usia 18 tahun pada 2014. - Foto Bernama
Berbekalkan minat yang mendalam terhadap bidang solek, Puteri Nur Syahirah Fazin, 24, memberanikan diri membuka studio solekan bermodalkan simpanan sendiri ketika usia 18 tahun pada 2014. - Foto Bernama

Menurut pemilik studio solekan Bunga Hati itu, beliau berpeluang bekerjasama dengan sebuah butik pengantin pada usia 16 tahun dan pendapatan yang diperoleh disimpan untuk dijadikan modal perniagaan sendiri.

“Kerja apa pun tetap ada (cabaran), yang paling penting di sini perlu sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi apa jua keadaan sekalipun.

Artikel Berkaitan:

"Saya menekankan penggunaan produk berjenama yang berkualiti bagi memastikan pelanggan berpuas hati dengan hasil solekan,” katanya.

Katanya kemahiran sentiasa ditingkatkannya dengan mempelajari teknik terbaharu bagi menambah baik kualiti solekannya yang pernah menghiasi wajah artis tempatan seperti Ifa Raziah, Shima, Safura dan Sasha Saidin.

Bercita-cita membuka akademi solekan suatu hari nanti, Puteri Nur Syahirah menawarkan kelas solekan percuma kepada anak-anak golongan tidak berkemampuan yang meminati bidang tersebut supaya berpeluang menambah baik kehidupan mereka menerusi perniagaan andaman. - Bernama