Komited bangunkan kompleks arkeologi

Nancy diberi penerangan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin (tiga dari kanan) ketika lawatan kerjanya ke Tapak Tamadun Awal Asia Tenggara di Sungai Batu, Merbok semalam.
Nancy diberi penerangan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin (tiga dari kanan) ketika lawatan kerjanya ke Tapak Tamadun Awal Asia Tenggara di Sungai Batu, Merbok semalam.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) komited dalam usaha membangunkan Tapak Tamadun Awal Asia Tenggara di sini menjadi Kompleks Arkeologi Sungai Batu, sebagai salah satu lokasi warisan dan arkeopelancongan negara.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, hasil penyelidikan menemui tapak peleburan besi, tapak ritual, tapak pentadbiran, dan jeti kuno seawal 788 sebelum Masihi di Sungai Batu, Merbok itu membolehkan ia dikenali sebagai lembah sejarah atau lembah warisan memandangkan banyak produk yang sesuai dengan tema pelancongan warisan.

Menurutnya, MOTAC akan meyakinkan kerajaan supaya meluluskan peruntukan bagi membangunkan kompleks terbabit yang sebelum ini telah ditarik balik.

“Sebelum ini telah ada peruntukan diumumkan, namun ia ditarik balik atas alasan tertentu, oleh itu kami telah datang balik untuk mengutarakan cadangan lagi dalam usaha untuk membangunkan kompleks ini.

"Kesan peninggalan tamadun awal seperti sisa batu-bata, tapak ritual, artifak, batu besi dan lain-lain menjadi bukti kuat keperluan mewujudkan kompleks galeri yang lebih moden dalam bentuk 3D agar mampu menjadi tarikan pelancongan sekali gus menjana pendapatan ekonomi setempat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Kerja ke Tapak Arkeologi Sungai Batu di sini semalam.

Menurutnya, cadangan pembinaan kompleks dianggarkan mengambil masa kira-kira dua tahun sekiranya kewangan mencukupi.

"Perancangan itu juga menjadi salah satu proses yang dilakukan kementeriannya untuk mempromosi dan menambah produk pelancongan tempatan negara selain di Lenggong, Perak.

Artikel Berkaitan:

“Sebab kita sekarang ini sedang rancak untuk mengenal pasti produk pelancongan domestik dan ini adalah salah satu daripadanya,” katanya.

Berdasarkan rekod, Tapak Tamadun Awal Asia Tenggara di Sungai Batu terletak dalam kawasan Lembah Bujang berjarak sejauh kira-kira 20 kilometer dari pusat bandar Sungai Petani itu telah pun diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan pada 28 November 2017.

Selain itu, beberapa tapak arkeologi dan bangunan warisan lain di sekitarnya turut diwartakan termasuk Candi Pengkalan Bujang, Candi Batu Pahat, Candi Permatang Pasir, Candi Bukit Choras dan Balai Polis Sungai Petani.