Ujian awal vaksin kedua Rusia berjaya

Dua fasa pertama ujian klinikal menunjukkan keberkesanan dan keselamatan vaksin EpiVacCorona tersebut. - Foto Agensi
Dua fasa pertama ujian klinikal menunjukkan keberkesanan dan keselamatan vaksin EpiVacCorona tersebut. - Foto Agensi
A
A
A

MOSCOW - Ujian klinikal awal vaksin kedua koronavirus (Covid-19) dihasilkan Rusia menunjukkan keputusan yang positif.

Perkara itu dimaklumkan pengeluarnya, Vektor yang merupakan sebuah pusat penyelidikan virologi rahsia di Siberia.

"Keputusan ujian fasa awal vaksin EpiVacCorona berjaya. Dua fasa pertama ujian klinikal menunjukkan keberkesanan dan keselamatan vaksin itu," lapor Interfax News Agency memetik kenyataan jurucakap Vektor.

Menurutnya lagi, ia akan membuat kesimpulan akhir untuk membuktikan ia efisien dan selamat berdasarkan tindak balas imun selepas ujian klinikal pasca kelulusan selesai.

Awal minggu lalu, Menteri Kesihatan Rusia, Mikhail Murashko memaklumkan kepada Putin bahawa vaksin EpiVacCorona itu dijangka diluluskan kementerian terbabit dalam tempoh tiga minggu.

Difahamkan, ujian klinikal pasca pendaftaran akan dilakukan terhadap 5,000 sukarelawan di Siberia yang turut membabitkan 150 individu berusia lebih 60 tahun.

Vektor juga akan melakukan ujian plasebo ke atas 5,000 sukarelawan di Moscos berusia antara 18 dan 60 tahun.

Vaksin EpiVacCorona terdiri daripada dua komponen dos suntikan yang akan diberikan selang 21 hari.

Artikel Berkaitan:

"Rusia merancang untuk menghasilkan 10,000 dos awal yang dijangka bermula pada bulan depan," jelas laporan itu lagi.

Pada Ogos lalu, Moscow mengumumkan ia menghasilkan vaksin berdaftar pertama di dunia digelar Sputnik V yang dihasilkan Pusat Penyelidikan Gamaleya.

Penghasilannya dalam waktu singkat bagaimanapun mencetuskan kebimbangan dalam kalangan saintis Barat. - AFP