Tabika Kemas elit buka jurang perpecahan masyarakat

Wan Azizah Wan Ismail
Wan Azizah Wan Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan penubuhan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) elit oleh kerajaan perlu segera dibatalkan kerana ia menjurus kepada perpecahan masyarakat.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia akan melebarkan jurang antara golongan B40 dan T20 dan akhirnya boleh menyebabkan keretakan perpaduan masyarakat.

“Malaysia seharusnya melangkah ke arah pendemokrasian pendidikan awal kanak-kanak yang dapat memberikan kesaksamaan pendidikan yang berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azizah yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wawasan strategik dalam pendidikan awal kanak-kanak perlu menitik beratkan kualiti persekitaran yang membina, termasuk pendekatan hidup dan pendidikan yang melibatkan ibu bapa, penjaga, keluarga dan masyarakat.

“WHO berpendapat kerajaan dan masyarakat sivil harus bekerjasama dengan keluarga bagi menyediakan akses yang saksama kepada semua kanak-kanak kepada persekitaran yang berkualiti lagi membina.

“Tabika elit yang dicadangkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) itu adalah bertentangan dengan aspirasi ini dalam pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan hasrat wujudkan tadika elit

Pada 29 September lalu, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kementeriannya berhasrat mewujudkan tabika Kemas elit dengan yuran bulanan lebih tinggi daripada tabika biasa bagi memberi lebih banyak pilihan kepada golongan M40.

Abdul Rahman berkata, kementeriannya kini sedang dalam proses menyiapkan kertas kerja penubuhan tabika berkenaan.

Artikel Berkaitan: