X

Kindly register in order to view this article
!

Enggan ke sekolah sebab nak jaga adik

Zulkepli (kanan) bertanyakan khabar Rosida Riza serta anak-anaknya di rumah mereka di Kampung Kusar, Gual Periok, Rantau Panjang hari ini.
A
A

RANTAU PANJANG - Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun sanggup 'menggadaikan' masa depannya dengan tidak ke sekolah semata-mata mahu menjaga adiknya yang menghidap penyakit benjolan pada bahagian hadapan dan belakang kepala.

Difahamkan Muhamad Danial Ikhwan Mohd Samsu berbuat demikian kerana mahu meringankan beban ibunya, Rosida Riza Abdullah, 34, yang bekerja sebagai pembantu gerai menjual buah-buahan potong di zon bebas cukai Rantau Panjang.

Rosida Riza berkata, setiap hari dia memujuk Muhamad Danial Ikhwan untuk ke sekolah, namun anak kedua daripada empat beradik itu enggan berbuat demikian.

"Bila ditanya kenapa tidak mahu ke sekolah, dia beritahu sebab nak bantu saya jaga adik (Muhamad Danial Hakim, 2) yang sakit.

"Muhamad Danial Ikhwan kata, kalau dia tidak jaga adik macam mana saya hendak keluar bekerja

"Setiap hari saya bekerja dari pagi sampai petang, kadang-kadang malam baru sampai rumah," katanya kepada pemberita di Kampung Kusar, Gual Periok, di sini hari ini.

Terdahulu, Rosida Riza menerima kunjungan daripada pihak Yayasan Amal Datuk Zul Wisma yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Dr Zulkepli Mohammad.

Dalam kunjungan itu, Zulkepli turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM500 wang zakat berserta barangan keperluan dapur kepada keluarga berkenaan.

Turut hadir, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Mas, Azizan Aziz.

Muhamad Danial Ikhwan (kiri) dan ibunya, Rosida Riza menerima sumbangan wang zakat daripada Yayasan Amal Datuk Zul Wisma yang disampaikan oleh Zulkepli (tiga dari kanan) di rumah mereka di Kampung Kusar, Gual Periok, Rantau Panjang hari ini.
Muhamad Danial Ikhwan (kiri) dan ibunya, Rosida Riza menerima sumbangan wang zakat daripada Yayasan Amal Datuk Zul Wisma yang disampaikan oleh Zulkepli (tiga dari kanan) di rumah mereka di Kampung Kusar, Gual Periok, Rantau Panjang hari ini.

Menurutnya, dia hilang kata-kata selepas mendengar luahan anak keduanya itu yang bertegas mahu menjaga adiknya.

Katanya, bagaimanapun dia tetap tidak berputus asa memujuk Muhamad Danial Ikhwan kembali ke sekolah yang ditinggalnya sejak setahun lalu.

"Anak bongsu, Muhamad Danial Hakim menghidap penyakit itu sejak kecil lagi dan perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.

"Sebelum ini doktor pernah memberi cadangan supaya pembedahan dijalankan, namun saya masih belum membuat keputusan berkaitan perkara itu," katanya.

Rosida Riza berkata, dia perlu bekerja keras bagi memastikan dapur rumahnya terus berasap selain perlu menampung perbelanjaan anak sulungnya, Nur Atisha Balqis, 13, dan Muhamad Danial Hakimi, 6, yang masih bersekolah.

Katanya, pendapatan sebagai pembantu gerai tidak menentu, jika hari biasa gajinya sekitar RM15 sehari, hari cuti sekolah atau kelepasan umum gajinya mencecah sehingga RM25.

Menurutnya, suami hanya bekerja kampung dengan pendapatan yang tidak menentu.

"Disebabkan itu saya tiada pilihan, walaupun anak sakit tetapi tetap kena keluar bekerja," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) bernombor 03081020 365879 atas nama Rosida Riza Abdullah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!