Tengku Hassanal janji laksana tanggungjawab

Tengku Hassanal ditemui pemberita di pekarangan Istana Abu Bakar
Tengku Hassanal ditemui pemberita di pekarangan Istana Abu Bakar
A
A
A

PEKAN – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah bertitah akan meneruskan legasi kepimpinan datuk dan ayahanda baginda dalam melaksanakan tanggungjawab mentadbir Kerajaan Pahang dan seluruh jajahan takluknya.

Baginda bertitah, pelantikan dan pemasyhurannya pada hari ini merupakan anugerah dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh ALLAH SWT yang harus dijaga dengan sepenuh hati.

Menurutnya, istiadat yang berlangsung penuh gilang-gemilang semalam bukan sahaja melambangkan kemakmuran negeri ini bahkan mempamerkan adat resam dan budaya Melayu Pahang yang tak lekang dek zaman tak lapuk dek hujan.

“Saya berbangga untuk seluruh rakyat negeri ini kerana istiadat pelantikan dan pemasyhuran hari ini adalah simbolik untuk menunjukkan adat resam Melayu di negeri ini.

“Saya akan meneruskan legasi dari nenek moyang kepada datuk dan ayahanda saya dan seterusnya kepada saya dengan penuh tanggungjawab,” titah baginda ketika ditemui pemberita di pekarangan Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

Berhubung pelaksanaan tugas sebagai Pemangku Raja sewaktu baginda menyambung pelajaran di Akademi Tentera Diraja Sanhurst di United Kingdom, Tengku Hassanal bertitah perkara tersebut belum diputuskan kerana baginda akan mendapatkan nasihat daripada ayahanda baginda Al Sultan Abdullah Riayatuddin Almustain Billah Ibni Al Sultan Ahmad Shah.

“Jemaah Pemangku Raja masih belum diisytiharkan lagi. Perkara itu saya sedang tunggu nasihat daripada ayahanda. Saya akan berangkat pulang ke akademi hari Jumaat ini,” titah baginda.

Terdahulu, semasa istiadat pemasyhuran dan pelantikan, Al Sultan Abdullah mengurniakan darjah kebesaran Darjah Kerabat Seri Indera Mahkota Pahang kepada Tengku Hassanal.

Artikel Berkaitan:

Tengku Hassanal di dalam titah pertamanya sewaktu pertabalan turut berjanji kepada rakyat jelata untuk menunaikan amanah selaku Pemangku Raja Pahang dengan penuh tanggungjawab.