X

Kindly register in order to view this article
!

Politik kaum dalam masyarakat majmuk tidak boleh diteruskan: PM

Muhyiddin berucap pada Majlis Sesi Balai Rakyat Makmur Bersama Kuala Lumpur 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin Yassin berkata, politik identiti atau politik ras dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum dan keturunan di negara ini tidak boleh berterusan walaupun ia tidak boleh dihapuskan secara keseluruhan.

Muhyiddin berkata, dengan adanya media sosial pada masa ini, masyarakat mudah ‘tersentuh’ apabila isu berkaitan kaum, agama, dan pendapatan dibangkitkan, menyebabkan ia menjejaskan hubungan antara kaum.

“Masing-masing ada sentimen, walaupun begitu ia tidak harus membawa kesan tidak baik. Contohnya pengagihan kekayaan dalam negara, orang Melayu yang menjadi sebahagian besar komponen dalam masyarakat merasakan belum cukup dibela.

“Mereka merasakan perlukan lebih lagi pembelaan walaupun dahulu sudah pun ada Dasar Ekonomi Baharu, namun apabila kita teliti sekarang, banyak ketirisan dan perkara yang tidak baik berlaku menyebabkan rasa tidak puas hati masih ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog Balai Rakyat Makmur Bersama di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Muhyiddin berkata, pada masa yang sama, perasaan dan isu yang sama turut dirasai oleh kaum lain dalam negara seperti Cina dan India

“Ada juga kalangan mereka tidak berupaya yang miskin dan berpendapatan rendah. Perasaan sama juga wujud di kalangan mereka.

“Persoalananya apa dasar dan cara kerajaan Perikatan Nasional hendak lakukan supaya dalam keadaan hendak address (menangani) kepincangan dan kelemahan tadi, ia tidak dilihat sebagai satu tindakan yang berbentuk perkauman dan mirip memilih satu kaum sahaja dan melupakan pihak lain,” katanya.

Oleh itu katanya, Dasar Kemakmuran Bersama dilihat antara penyelesaian dalam menangani masalah itu dalam tempoh 10 tahun mendatang, termasuk dalam soal merapatkan jurang ekonomi antara kaum.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Dasar Kemakmuran Bersama tidak meminggirkan pembangunan keluarga dan wanita.

Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga serta agensi di bawahnya sentiasa melakukan libat urus bersama masyarakat untuk mendapatkan maklum balas bagi memastikan golongan ini tidak ketinggalan dalam soal itu.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!