101 kes positif Covid-19 hari ini

Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Terdapat 101 kes termasuk 17 yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah disahkan positif koronavirus (Covid-19) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 101 kes, empat merupakan kes import dan 97 lagi adalah penularan dalam negara.

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini adalah 11,135 kes dengan 1,062 kes aktif," katanya.

Mengulas mengenai penularan dalam negara, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 73 kes.

"Kluster Bangau-bangau merekodkan 51 kes, lapan kes saringan bergejala, tiga daripada Kluster Jalan Bomba dan masing-masing dua kes melibatkan Kluster Benteng LD, Kuarters, Jalan Utara," katanya.

Menurutnya, KKM turut mengesan masing-masing satu kes saringan rujukan ke Hospital Sandakan, kontak rapat kepada kes positif dan saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

"Dua lagi adalah kes saringan petugas kesihatan dan saringan komuniti," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, di Selangor, 14 kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Ia melibatkan sembilan kes saringan pulang dari Sabah, dua saringan kontak rapat dan masing-masing satu kes Kluster Benteng PK, Jalan Apas serta saringan sebelum pulang ke negara asal," katanya.

Tambahnya, di Johor, dua kes baharu dikesan melibatkan Kluster Bakawali.

"Pertambahan itu menjadikan jumlah kes positif bagi kluster ini adalah empat kes," katanya.

Selain itu, Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Melaka, Kelantan, Pulau Pinang, Putrajaya dan Perlis merekodkan masing-masing satu kes yang mana ia melibatkan individu pulang dari Sabah.

"Sehingga kini, terdapat 13 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk lima yang memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Katanya, tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan dan ia kekal pada 134 kes.

"Seramai 50 kes yang telah pulih Covid-19 pada hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah sebanyak 9,939 kes iaitu bersamaan dengan 89.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.