X

Kindly register in order to view this article
!

Zamburger langsai hutang Piala Presiden dan Belia Kelantan

Surat pembayaran yang dikeluarkan oleh Zamburger kepada mereka yang terlibat.
A
A

KOTA BHARU - Pakar pelaburan dan usahawan burger, Norizam Tukiman sekali lagi menjadi 'penyelamat' bola sepak Kelantan apabila membayar semua tunggakan gaji skuad Piala Presiden serta Belia bagi musim 2019 dan 2020.

Norizam atau Zamburger berkata, bayaran itu membabitkan hutang berjumlah RM195,476.89.

"Alhamdulillah, tiada lagi masalah yang membelenggu (Kelantan) selepas ini," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Sinar Harian 18 September lalu melaporkan, walaupun baru tiga minggu menggalas tanggungjawab sebagai pemilik Kelantan, Zamburger mengotakan janji 'mencuci' hutang lapuk TRW apabila mengeluarkan belanja berjumlah RM3.6 juta untuk urusan tersebut.

Bayaran itu melibatkan hutang kepada 15 bekas pemain dan pegawai yang pernah 'bermandi peluh' bersama TRW bermula musim 2017, 2018 dan 2019.

Kesemua tunggakan hutang itu berjumlah RM2.4 juta yang dibayar secara penuh kepada semua bekas pemain dan pegawai yang terlibat termasuk pengendali Kelantan musim ini, Yusri Che Lah.

Zamburger juga gembira dapat melunaskan tunggakan hutang tersebut yang disifatkan sebagai 'duri dalam daging' pasukan berkenaan.

Katanya, bayaran itu membabitkan 124 pemain termasuk barisan jurulatih dan pegawai pasukan piala presiden serta belia untuk musim 2019 dan 2020.

Menurutnya, bayaran itu dibuat bermula semalam menerusi syarikat guaman Tetuan Alawi.

"Ia sebahagian daripada pinjaman beliau berjumlah RM3.8 juta kepada KAFA sebelum ini.

"Insya-ALLAH, dengan selesainya semua masalah ini dapatlah saya dan pihak pengurusan memberikan tumpuan penuh kepada misi serta visi membina TRW ke arah yang lebih baik," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!