Zamsaham selesaikan tunggakan gaji TRW

Norizam
Norizam
A
A
A

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham memaklumkan sudah membayar penuh tunggakan gaji pemain tempatan pasukan itu.

Menurutnya, kini dia sedang memfokuskan untuk menyelesaikan bayaran gaji bagi pemain import untuk bulan Mei.

"Gaji pemain tempatan semua dah bayar dah. Ni nak cari duit untuk bayar gaji import bulan lepas pula," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya pada Isnin.

Sebelum ini, bola sepak negara kecoh mengenai pendedahan pemain Kelantan FC berhubung tunggakan gaji bulan April yang tidak dibayar oleh pasukan itu.

Malah, Zamsaham juga dikritik oleh peminat bola sepak kerana 'menahan' gaji pemain dengan alasan mahu melihat pasukan melakar kemenangan dalam saingan liga.

Dalam pada itu, Zamsaham turut mengesahkan pemain importnya, Natanael Siringoringo akan kembali bersama pasukan itu pada pusingan kedua liga.

Pemain kelahiran Indonesia itu sebelum ini dipinjamkan ke kelab negaranya, Dewa United sehingga berakhir pusingan pertama liga musim ini.

"Insya-ALLAH petang ini Natanael Siringgoringo akan sampai KLIA. Natanael akan bersama TRW Kelantan FC di pusingan kedua," katanya.

Natanael boleh bermain di bahagian sayap dan serangan mempunyai kontrak bersama Kelantan FC sehingga penghujung musim 2024.