X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: 115 kes baharu direkodkan, Sabah sumbang kes tertinggi

Dr Noor Hisham -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kes baharu Covid-19 di negara ini kekal tiga angka iaitu sebanyak 115 kes hari ini dengan Sabah masih menjadi negeri menyumbang kes positif tertinggi melibatkan 98 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, jumlah kes baharu dilaporkan itu melibatkan 112 penularan tempatan membabitkan 98 warganegara dan 14 kes bukan warganegara, serta tiga kes import.

Menurutnya, daripada keseluruhan 112 penularan dalam negara, seramai 11 daripadanya mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

"Kes tempatan hari ini melibatkan Sabah (98 kes), Selangor (10 kes), manakala Terengganu, Melaka, Kedah dan Labuan masing-masing satu kes, sementara tiga kes import pula melibatkan mereka yang pulang dari India.

"Terdapat pertambahan kluster di Selangor iaitu Kluster Jalan Apas, dan tiada kematian baharu hari ini," katanya dalam kenyataan perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia melepasi angka 11,000 dengan 11,034 kes, sementara kes aktif kebolehjangkitan ialah 1,011 kes manakala terdapat 54 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhan pulih ialah 9,889 kes.

"Kes positif yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) pula ialah lapan kes dengan lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Memperincikan Kluster Jalan Apas, Dr Noor Hisham berkata, kes tersebut melibatkan pasangan suami isteri warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna, Sabah dari 13 hingga 16 September lepas.

"Kedua-dua kes indeks mula bergejala demam, batuk, dan selesema pada 18 September yang kemudian mendapatkan rawatan di pusat perubatan pada 19 September. Mereka kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 24 September.

"Mereka didapati positif pada 26 September dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh," jelasnya.

Beliau berkata, hasil saringan kontak rapat mendapati enam lagi positif pada 27 September dan sehingga kini, seramai 66 individu telah disaring dengan dua lagi masih menunggu keputusan.

Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi terbabit dan punca jangkitan masih dalam siasatan, katanya.

Bagi perkembangan kes positif kluster-kluster yang aktif, Dr Noor Hisham berkata terdapat 46 kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Bangau-Bangau, Sabah pada hari ini menjadikan kes positif keseluruhan kluster itu sebanyak 225 kes.

Sementara bagi Kluster Benteng LD (Sabah), terdapat 39 kes baharu yang melibatkan 34 kes di Tawau dan lima di Lahad Datu menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam kluster berkenaan sebanyak 873 kes.

"Terdapat dua kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Pulau (Sabah) menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 49 kes, manakala bagi Kluster Buang Sayang (Sabah) dan Kluster Sungai di Kedah masing-masing satu kes baharu dicatatkan," katanya.

Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di daerah Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna di Sabah yang berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam ini, Dr Noor Hisham berkata, seramai 962,661 penduduk akan disaring di keempat-empat daerah tersebut.

Beliau berkata, saringan bersasar akan dilakukan bagi komuniti setempat dan kumpulan berisiko tinggi meliputi lima peratus daripada jumlah penduduk.

"Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus menjalankan langkah kawalan dan pencegahan di keempat-empat daerah ini dan pangkalan perubatan akan dibuka di kawasan PKPDB.

"Kerjasama daripada penduduk setempat adalah amat diperlukan bagi memastikan tindakan ini berjaya memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 dalam negara kita," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!