230 petugas Kesihatan Selangor bantu saring Covid-19

Petugas kesihatan menjalankan saringan di KLIA 2. - Foto Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
Petugas kesihatan menjalankan saringan di KLIA 2. - Foto Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 230 petugas Jabatan Kesihatan Selangor dikerahkan bersiap-sedia di tiga lapangan terbang bagi melancarkan proses saringan ke atas semua individu yang pulang dari Sabah.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Shari Ngadiman berkata, seramai 70 orang petugas kesihatan diarahkan untuk bertugas pada hari pertama pelaksanaan proses saringan tersebut dan jumlah itu ditambah kepada 160 pada hari ini.

"Semua petugas berkenaan akan melakukan pemantauan dan saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA 2 dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

"Dalam tempoh itu, semua individu yang disaring akan dipakaikan gelang pink dan perlu menjalani pemantauan di rumah sehingga keputusan ujian diketahui," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan semua individu yang baru tiba dari Sabah wajib menjalani saringan di pintu masuk antarabangsa (PMA) bermula 27 September sehingga 10 Oktober ini.

Pada 15 September lalu juga semua daerah di Selangor bertukar status zon hijau selepas 41 hari mengharungi kes aktif di bawah angka lima.

Bagaimanapun, empat daerah di negeri ini diisytihar sebagai zon kuning menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 2,224 kes.

Dalam pada itu, Shari turut menyarankan semua individu yang menjalani pengawasan dan pemantauan di rumah dapat mematuhi peraturan ditetapkan bagi menggelakkan mereka dikenakan tindakan denda.

Artikel Berkaitan:

"KKM juga mempunyai pasukan di luar yang akan melakukan pemantauan bagi memastikan pihak terlibat mematuhi arahan pemantauan di rumah sehingga keputusan ujian saringan dikeluarkan," katanya.