Terlepas pandang dua isu penting

Keadaan di Terminal Feri Antarabangsa Labuan semalam agak sibuk berikutan orang ramai menaiki bot ke Menumbok untuk balik mengundi di kawasan mereka di tanah besar Sabah. -Foto Bernama
Keadaan di Terminal Feri Antarabangsa Labuan semalam agak sibuk berikutan orang ramai menaiki bot ke Menumbok untuk balik mengundi di kawasan mereka di tanah besar Sabah. -Foto Bernama
A
A
A

DI SEBALIK hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung hari ini, kita sebenarnya terlepas pandang mengenai dua isu besar yang tidak mendapat perhatian sepatutnya.

Oleh sebab kehangatan kempen politik yang mewarnai suasana, orang ramai seolah-olah terlupa perkara yang lebih penting dan mendesak.

Dua isu besar itu adalah tuntutan Filipina terhadap Sabah yang semakin memuncak dan penularan jangkitan koronavirus (Covid-19) di negeri itu yang membimbangkan.

Kedua-dua isu ini melibatkan keselamatan rakyat dan perlu ditangani dengan segera.

Disebabkan isu-isu politik yang lebih sensasi dan menarik minat rakyat, maka kempen PRN Sabah kali ini tidak begitu banyak bercakap mengenai dua isu ini. Sejak dari hari penamaan calon dan kempen bermula, semua parti bertanding lebih mengutamakan serangan terhadap pihak lawan. Cuma pada hujung kempen isu tuntutan Sabah mula mendapat perhatian.

Pada 27 Julai lalu, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr secara terbuka mendakwa Sabah sebagai bukan milik Malaysia, mengulangi kontroversi tuntutan Filipina ke atas Sabah oleh Presiden Rodrigo Duterte pada tahun 2016.

Selain itu, kerajaan Filipina turut didakwa akan menghidupkan semula pejabat Hal Ehwal Borneo Utara di Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) negara itu. Tidak berhenti di situ, Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina pula membuat keputusan membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah ke dalam pasport negara itu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal

Sebelum ini, Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pernah mengeluarkan kenyataan mahu kerajaan Persekutuan berunding dengan Filipina berhubung isu tuntutan itu. Bagaimanapun Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tetap dengan pendirian bahawa tiada rundingan yang akan dilakukan dan Sabah selamanya sebahagian dari Malaysia.

Pada beberapa hari terakhir kempen barulah isu tuntutan Sabah oleh Filipina ini mula menjadi modal utama.

Rata-rata rakyat Sabah menolak sepenuhnya tuntutan Filipina ini dan menuntut negara itu menghentikan provokasi berkenaan.

Ahli Parlimen Batu Sapi daripada Warisan, Datuk Liew Vui Keong turut membawa usul tergempar di Dewan Rakyat untuk mengecam tindakan Filipina ini. Tindakan itu jelas menunjukkan majoriti rakyat Sabah tidak bersetuju dengan tuntutan Filipina.

Selain itu, isu pencerobohan yang berlaku pada tahun 2013 lalu oleh tentera Sulu mendapat perhatian dan tular secara tiba-tiba apabila Ahli Parlimen Silam, Datuk Mohamaddin Ketapi didakwa memperkecilkan pasukan keselamatan yang berjuang di Lahad Datu pada tahun tersebut.

Mohamaddin Ketapi
Mohamaddin Ketapi

Mohamaddin kemudiannya memohon maaf kepada anggota keselamatan sambil menegaskan, peristiwa di Tanduo tidak berlaku jika kerajaan terdahulu memberi keutamaan kepada usaha menangani isu pendatang tanpa izin (PATI) yang tidak berpenghujung di Negeri Di Bawah Bayu ini.

Mungkinkah 16,877 pengundi awal yang terdiri dari pasukan keselamatan dan keluarga mereka akan terkesan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohamaddin ini?

Sepanjang kempen, memang ada calon yang bercakap mengenai masalah PATI di Sabah, namun isu PATI ini tidak pernah selesai sejak sekian lamanya. Malah isu PATI semakin lama semakin besar dengan kebanjiran warga Filipina saban tahun semakin membimbangkan.

Bom jangka

Pada 20 September lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali telah mendedahkan sesuatu yang mengejutkan kita semua di mana maklumat diperoleh mendakwa kemasukan besar-besaran PATI ke Sabah dengan tujuan mahu melakukan kekecohan pada hari pengundian.

“Saya sudah berhubung dengan Komander ESSCOM untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi menghalang kemasukan PATI ke pantai timur Sabah dan sempadan Sabah di Kalimantan.

“Aset-aset di perairan kita juga akan digerakkan semaksimum mungkin bagi menjalankan rondaan di sempadan selain menggabungkan kerjasama Ops Benteng bersama agensi lain termasuk ATM serta imigresen,” katanya

Kempen PRN yang berlangsung di Sabah dilihat tidak tepat pada waktunya apabila penularan Covid-19 semakin membimbangkan.

Dengan ratusan malah ribuan jentera parti bergerak dari rumah ke rumah boleh menyebabkan penyebaran virus ini menjadi lebih besar dan dibimbangi sukar dikawal. Beberapa pemimpin parti juga sudah disahkan positif Covid-19 selepas turun berkempen di negeri itu.

Keghairahan berkempen semata-mata untuk merebut kedudukan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan mengetepikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengundang bencana bukan sahaja rakyat di Sabah, bahkan mungkin di seluruh Malaysia.

No Image Caption

Walaupun SOP yang ketat sudah dikeluarkan oleh KKM dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sering kali kita melihat kempen yang berlangsung itu tidak mengamalkan penjarakkan sosial.

Ceramah-ceramah yang diadakan juga penuh dihadiri orang ramai.

Kekhuatiran itu wajar ditakuti kerana sehingga kelmarin, sebanyak 643 kes positif dilaporkan berlaku melibatkan enam kluster di Sabah iaitu Kluster Benteng Lahad Datu (LD) sebanyak 583 kes, Kluster Pulau (29 kes), Kluster Bakau (tiga kes), Kluster Selamat (19 kes), Kluster Kuarters (lima kes) dan Kluster Laut (empat kes).

Kluster Benteng Lahad Datu menjadi penyumbang terbesar jangkitan yang mula dikesan pada 1 September lepas daripada dua PATI yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

Jika peratusan keluar mengundi tidak begitu tinggi pada PRN Sabah hari ini, faktor utamanya sudah pasti kerana orang ramai bimbang dengan penularan Covid-19.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merayu semua pihak tanpa mengira status dan kedudukan mematuhi SOP yang ditetapkan. Ia berikutan nilai penularan jangkitan atau R-naught (Rt) di negeri itu kembali meningkat kepada 1.37.

Beliau menambah, sekiranya tiada urusan di luar masyarakat dinasihatkan supaya kekal berada di rumah.

“Bantulah negara dalam mengawal penularan Covid-19 ini,” katanya.

Seramai 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa layak mengundi hari ini dengan bakinya merupakan pengundi pos. -Foto Bernama
Seramai 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa layak mengundi hari ini dengan bakinya merupakan pengundi pos. -Foto Bernama