Pemancing ditemui berpaut pada bot fiber

Pemancing yang dilaporkan hilang semalam ditemui selamat berpaut pada bot dekat Pulau Seri Buat pagi tadi.
- Foto APMM
Pemancing yang dilaporkan hilang semalam ditemui selamat berpaut pada bot dekat Pulau Seri Buat pagi tadi. - Foto APMM
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemancing yang dilaporkan hilang semalam ditemui berpaut pada bot fiber dinaikinya yang terbalik selepas dipukul ribut di Pulau Seri Buat pagi tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, mangsa, Suhaimi Hashim, 53, diselamatkan oleh sebuah feri yang menemuinya berpaut pada bot di lautan.

"Berdasarkan maklumat daripada isteri mangsa, mangsa keluar seorang diri menaiki bot fiber ke laut dari jeti Sungai Jamaluang, Kampung Sri Pantai pada jam 8.00 pagi semalam.

"Rakan mangsa ada menghubungi mangsa kira-kira jam 9.30 pagi semalam, di mana ketika itu mangsa sedang berehat di Pulau Rawa," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Nurul Hizam, selepas menerima laporan tersebut, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada jam 4.00 pagi dan MRSC Johor Bahru menyalurkan maklumat kepada aset yang beroperasi untuk ke tempat kejadian.

"Sebuah bot ronda dari Zon Maritim Mersing membuat carian di lokasi terakhir mangsa dilaporkan berada di Pulau Rawa.

"MRSC Johor Bahru mendapat maklumat penemuan mangsa oleh sebuah feri pada kedudukan lebih kurang 3.5 batu nautika timur laut Pulau Seri Buat kira-kira jam 8.27 pagi tadi, " katanya.

Nurul Hizam berkata, mangsa berada dalam keadaan selamat dan dibawa ke Kampung Tekek, Pulau Tioman bersama bot fiber miliknya oleh feri berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Dengan penemuan tersebut SAR ditamatkan pada jam 10.00 pagi tadi," katanya.