X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Annuar Musa jalani kuarantin

Tan Sri Annuar Musa
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa dikehendaki menjalani kuarantin di Kota Kinabalu, Sabah setelah menjadi kontak rapat Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Mohd Razlan Rafii yang disahkan positif Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan itu memaklumkan beliau telah menerima perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak jangkitan Covid-19 dari Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu, hari ini.

"Dengan perintah ini, saya dikehendaki menjalani kuarantin di kediaman di Kota Kinabalu bagi tempoh tertentu,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

Annuar berkata beliau telah menjalani ujian RT-PCR di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dua hari lepas dan disahkan negatif.

Katanya, beliau menjalani satu lagi ujian oleh Jabatan Kesihatan Kota Kinabalu hari ini dan keputusan dijangka diperoleh dalam masa terdekat.

Justeru, Annuar berkata beliau terpaksa membatalkan kesemua jadual termasuk ceramah perdana bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini, selain lawatan ke Pitas dan Kota Belud esok.

"Saya akan terus bertugas dari kediaman saya dan akan berkomunikasi dengan semua peringkat jentera seperti biasa,” katanya yang juga merupakan koordinator BN Pilihan Raya Negeri Sabah. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!