X

Kindly register in order to view this article
!

Nor Aqilah sudah sedar, angguk kepala tanda kenal keluarga

Tiga sahabat maut akibat keracunan karbon monoksida selepas tertidur dalam kereta sewaktu berehat di parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth pada 16 September lepas.
A
A

GEORGETOWN - Mangsa yang terselamat dalam kejadian keracunan gas karbon monoksida dalam sebuah kereta di tapak parkir stesen minyak pada 17 September lalu dilaporkan sudah sedar daripada koma petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, sebelum ini dikomakan untuk tujuan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, Nor Aqilah juga dilaporkan mengangguk kepala sebagai tanda mengenali ahli keluarga yang datang melawatnya.

"Alhamdulillah, adik Aqilah sudah sedar daripada koma dan mengangguk kepala tanda kenal ahli keluarga yang datang melawat dia," katanya ketika dihubungi malam ini.

SHAFEE ABD SAMAD
SHAFEE ABD SAMAD

Petang tadi, mangsa dilaporkan stabil dan masih dalam pemantauan rapi oleh sepasukan pakar perubatan di hospital tersebut.

Bagaimanapun, mangsa masih di bawah pemantauan doktor dari semasa ke semasa.

Dalam kejadian minggu lalu, tiga daripada empat pelajar di sebuah kolej perubatan swasta di Batu Caves maut dipercayai akibat keracunan karbon monoksida apabila mereka tertidur semasa berehat di dalam kereta dengan cermin tingkap tertutup.

ARTIKEL BERKAITAN Dua daripada empat sahabat maut lemas dalam kereta

Lemas dalam kereta: Seorang lagi meninggal dunia

Kesemua mangsa menaiki sebuah kereta Honda Odyssey dikatakan berhenti di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth selepas pulang dari Pulau Jerejak di Bayan Baru di sini.

Mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah.

Kesemua mangsa berhenti di stesen minyak itu pada jam 8.30 malam selepas Nor Aqilah yang memandu kereta tersebut memaklumkan dia pening dan muntah.

Empat sahabat itu ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta tersebut dengan keadaan enjin masih hidup oleh bapa Ayuni Shazwani Shabri kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 17 September lalu.

Dalam kejadian itu, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie dan Nor Adilah Mohd Safwan meninggal dunia, manakala Nor Aqilah kritikal selepas kesemuanya yang berusia 21 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri.

Nor Adilah yang merupakan kembar kepada Nor Aqilah pada awalnya terselamat namun meninggal dunia ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak pada jam 4.23 petang Khamis lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!