Politik konfrontasi tidak sihat untuk Sabah: Salleh Said Keruak

Salleh Said Keruak
Salleh Said Keruak
A
A
A

KOTA BELUD - Tindakan beberapa parti tempatan mengamalkan politik konfrontasi dengan parti dari Semenanjung adalah sesuatu yang tidak sihat, kata bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

“Kita tidak boleh mengamalkan politik konfrontasi, yang akan menjadi mangsa adalah rakyat kerana kita menanamkan sifat kebencian kepada mereka yang berada di Semenanjung. Ini adalah perkembangan tidak sihat.

“Kita di Sabah ini sejak dahulu terikat dengan politik pembangunan dan apabila kita berbicara dengan politik pembangunan, kita seharusnya memberi kerjasama dan sokongan kepada parti pemerintah yang mampu membawa pembangunan ke Sabah,” kata calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan itu.

Beliau berkata, kesemua parti terbabit sering mengutarakan isu hak-hak Sabah dan kononnya sebagai parti tempatan, mereka mempunyai kuasa monopoli dalam perkara itu.

“Pada saya, hak Sabah itu bukanlah milik mana-mana parti politik. Hak Sabah itu adalah milik rakyat Sabah dan kita boleh mendapat yang terbaik apabila kita mengadakan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada Bernama ketika bertemu pengundi di Kampung Kuala Abai, Usukan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu

UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimen mahu sokong Anwar

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berdepan pertandingan tiga penjuru di kerusi DUN Usukan menentang bekas guru Abdul Bahkrin Mohd Yusof (Warisan) dan Datu Mohd Nazaruddin Datu Tiga Belas (PCS).

Artikel Berkaitan:

DUN Usukan, yang mempunyai 16,883 pengundi, terletak lebih sejam perjalanan dari Kota Kinabalu. Kerusi itu sebelum ini disandang Datuk Japlin Akim dari BN-UMNO selepas memenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14, yang kemudian menyertai Bersatu.

Salleh juga meminta para pengundi menyokong Perikatan Nasional, BN dan sekutu mereka Parti Bersatu Sabah bagi memastikan perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri adalah sehaluan dengan pemerintahan Kerajaan Persekutuan untuk menjamin pembangunan yang lebih rancak.

Menyifatkan sambutan yang diterima daripada pengundi amat baik, beliau berkata pendekatan kempen pilihan raya negeri kali ini berlangsung dalam suasana berbeza ekoran ancaman pandemik koronavirus (Covid-19).

“Kita tidak memberi tumpuan kepada ceramah-ceramah yang besar tetapi kita memberi tumpuan turun padang menemui pengundi-pengundi di kawasan di mana kita bertanding,” katanya.

Kira-kira 1.12 juta pengundi di Sabah akan memilih wakil rakyat mereka di 73 DUN pada Sabtu ini. - Bernama