Kontak rapat kes Covid-19 di Kelantan dikenal pasti

Gambar kiri: Dr Zaini Hussin
Gambar kiri: Dr Zaini Hussin
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 48 kontak rapat berkaitan kes terkini membabitkan seorang lelaki dari Kelantan dijangkiti koronavirus (Covid-19) dikenal pasti.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ia termasuk kontak dalam kalangan keluarga, kawan-kawan tempat kerja dan dalam pesawat.

Menurutnya, kontak-kontak terbabit adalah dari Kelantan, Terengganu, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Merujuk kepada satu kes disahkan Covid-19 di Kelantan semalam (kelmarin), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan ingin memaklumkan bahawa kes ini dikesan semasa saringan terhadap individu itu dari kawasan berisiko (Sabah) yang dilakukan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.

“Kes ini merupakan seorang lelaki, warganegara Malaysia berusia 49 tahun, mempunyai sejarah bercuti ke Kota Kinabalu dan Kundasang, Sabah bermula 19 hingga 22 September lalu.

“Kes tidak mempunyai gejala dan dimasukkan ke Hospital Tumpat pada 23 September (kelmarin),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, aktiviti kawalan dan siasatan lanjut punca jangkitan sedang dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu.

Dalam perkembangan sama, Dr Zaini memaklumkan, situasi semasa Covid-19 di Kelantan bagaimanapun masih terkawal namun meminta masyarakat sentiasa mengikuti perkembangan semasa berkaitan Covid-19 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard norma baharu dengan mengamalkan penjarakkan fizikal, memakai pelitup muka semasa berada di tempat awam.

“Selain itu, elakkan bersalaman, bersentuhan dan berpelukan, sebaliknya cukup dengan hanya meletakkan tangan di dada sebagai tanda hormat,” katanya.

Dr Zaini juga menasihatkan orang ramai supaya terus menjaga kebersihan diri seperti kerap mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan sanitizer, mengelakkan daripada sembang rapat atau mengunjungi tempat tumpuan ramai.

Untuk rekod, sehingga hari ini sebanyak 161 kes disahkan Covid-19 dikesan di Kelantan termasuk tiga kematian.