Keputusan kes Ku Nan diketahui 17 November ini

Keputusan sama ada Ku Nan dibebaskan atau disabitkan kesalahan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan akan diketahui 17 November ini.
Keputusan sama ada Ku Nan dibebaskan atau disabitkan kesalahan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan akan diketahui 17 November ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan sama ada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dibebaskan atau disabitkan atas kesalahan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan akan diketahui 17 November ini.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan mengumumkan perkara berkenaan selepas hujahan akhir kes di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Ketika prosiding pendengaran hujahan lisan di akhir pembelaan, Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim berkata, pihaknya berhujah bahawa tertuduh gagal mengemukakan pembelaan yang dapat menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

Menurutnya, jika diteliti secara menyeluruh dengan keterangan tertuduh, terbukti sebagai satu kes yang melampaui keraguan yang munasabah.

“Merujuk kepada keterangan saksi pendakwaan ke-21 iaitu Timbalan Ketua Jabatan Pengurusan Kewangan UMNO, Farahdzilah Abd Kadir, penggunaan buku resit UMNO secara rawak boleh diakses oleh banyak pihak adalah meragukan dan tidak munasabah.

“Bagaimana tarikh pada resit-resit boleh melangkaui dua tahun (2017 dan 2018), sekali gus menjadikan kesahihannya diragui dan lebih kepada suatu dokumen rekaan atau palsu,” katanya.

Bagaimanapun, ketika hujahan pembelaan oleh peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan, resit rasmi UMNO bagi sumbangan RM2 juta yang dikeluarkan kepada Pengarah Urusan Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong bukan satu dokumen rekaan atau palsu.

Hock Chuan berkata, tidak dinafikan, Tengku Adnan yang juga Bendahari Agung UMNO menerima cek berkenaan daripada saksi pendakwaan ke-19, namun ia digunakan untuk perjalanan politik parti ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun 2016.

Artikel Berkaitan:

“Logiklah jika Tan Sri Chai terima resit rasmi UMNO pada atau sekitar 14 Jun 2016 kerana PRK diadakan pada bulan yang sama.

“Jelas sekali, pasukan pendakwaan gagal membuktikan resit rasmi UMNO itu adalah dokumen palsu,” katanya.

Tengku Adnan, 69, juga dikenali sebagai Ku Nan didakwa selaku penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu menerima suapan untuk dirinya sendiri sebanyak RM2 juta daripada Tan Sri Chai Kin Kong, sedangkan diketahui bahawa Aset Kayamas mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau.

Tengku Adnan didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 14 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengarahkan Tengku Adnan membela diri selepas memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadapnya dalam kes itu.

Tengku Adnan memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang tertuduh apabila prosiding membela diri bermula pada 17 Januari lalu dan mengakhiri keterangannya pada 5 Mac.