Saman cukai LHDN terhadap Ku Nan RM57.17 juta selesai

Tuntutan saman membabitkan pembayaran cukai pendapatan Tengku Adnan berjumlah RM57.17 juta diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi hari ini.
Tuntutan saman membabitkan pembayaran cukai pendapatan Tengku Adnan berjumlah RM57.17 juta diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tuntutan saman membabitkan pembayaran cukai pendapatan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berjumlah RM57.17 juta diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Perkara berkenaan disahkan oleh peguam, S Saravanan Kumar yang mewakili Ahli Parlimen Putrajaya atau lebih dikenali Ku Nan ketika ditemui selepas prosiding di dalam kamar mahkamah di hadapan Hakim, Datuk Azimah Omar.

Saravanan Kumar berkata, mahkamah merekodkan penghakiman persetujuan itu selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menyelesaikan tunggakan cukai tersebut.

Ketika ditanya jumlah bayaran yang dipersetujui, Saravanan berkata, buat masa ini, ia tidak dapat mendedahkan.

“Tuntutan saman cukai pendapatan Tengku Adnan diselesaikan secara baik, tetapi terma persetujuan yang dipersetujui kedua belah pihak tidak dapat dikemukakan,” katanya.

Dalam prosiding itu LHDN diwakili Timbalan Peguam Hasil, Dr Hazlina Hussain dan dua Peguam Kanan Hasil, Norhisham Ahmad serta Al-Hummidallah Idrus.

Sebelum ini pada 2 September lalu, mahkamah sama memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk menyelesaikan kes termasuk tunggakan yang perlu dibayar.

Kerajaan Malaysia melalui LHDN selaku plaintif memfailkan saman itu pada 24 Julai 2019, selepas mendakwa Tengku Adnan selaku defendan masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga tahun taksiran 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan penyataan tuntutan, LHDN mendakwa, Tengku Adnan gagal membayar jumlah cukai pendapatan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampaian Notis Taksiran yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, maka kenaikan cukai 10 peratus sudah dikenakan.

Plaintif berkata, defendan masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang itu dalam tempoh 60 hari menjadikan kenaikan cukai sebanyak lima peratus lagi dikenakan terhadap defendan.

Ia mendakwa sehingga kini defendan masih gagal membayar jumlah cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35.

Jumlah itu ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016); dan RM26,880,844.97 (2017).

Oleh itu, plaintif menuntut daripada defendan jumlah RM57,167,069.35, faedah atas jumlah RM57,167,069.35 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.