Armada Sabah mahu tindakan tegas terhadap Mohamaddin

Fariz (tiga kiri) bersama ahli ARMADA selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, hari ini.
Fariz (tiga kiri) bersama ahli ARMADA selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU – Angkatan Bersatu Anak Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada) Sabah membuat laporan polis terhadap kenyataan kontroversi Ahli Parlimen Silam, Datuk Mohamaddin Ketapi yang tular di media sosial sejak pagi tadi.

Mohamaddin dalam satu kempen pilihan raya dikatakan menyampaikan ucapan berbaur penghinaan terhadap anggota keselamatan dengan mendakwa peristiwa pencerobohan Tanduo di Lahad Datu yang berlaku di Sabah merupakan sandiwara semata-mata.

Laporan polis itu telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu kira-kira jam 2.26 petang tadi yang diketuai oleh Ketua Penerangan Armada Sabah, Fariz Fadila.

Fariz berkata, kenyataan itu jelas berniat jahat, berunsur fitnah dan bertujuan mewujudkan persepsi yang salah selain membabitkan kedaulatan negara.

“Kenyataan ini jelas menunjukkan satu persepsi salah sedangkan ia memang berlaku pencerobohan di Sabah. Ini soal kedaulatan negara kita khususnya di Sabah.

“Beliau turut memfitnah kerajaan serta pasukan keselamatan khususnya polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai berkomplot mewujudkan suasana panik di Sabah semata-mata,” katanya di sini, hari ini.

Fariz berkata, kenyataan beliau juga jelas menghina Yang Dipertuan Agong yang menjadi Ketua Turus ATM sebagai bersubahat dengan kerajaan dalam mewujudkan suasana huru-hara di negeri ini.

“Justeru, Armada khususnya di Sabah mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya dan menyiasat beliau (Mohamaddin) atas tuduhan fitnah ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: