Sila log masuk terlebih dahulu.

Bukan pesakit Covid-19 tetapi jantung

Gelang pink yang dipercayai ditanggalkan dan ditinggalkan di pekarangan tempat letak kereta restoran terbabit.
Gelang pink yang dipercayai ditanggalkan dan ditinggalkan di pekarangan tempat letak kereta restoran terbabit.
A
A
A

TEMERLOH - Seorang wanita memakai gelang pink yang tular ketika sedang makan di Restoran Gobang Maju Patin Tempoyak semalam bukan dikuarantin kerana koronavirus (Covid-19) sebaliknya pesakit jantung.

Pemilik restoran berkenaan, Muhamad Rizal Muhamad Rosely, 42, memberitahu, wanita berusia 68 tahun itu disahkan baru keluar dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

Menurutnya, pengesahan itu membantu orang ramai yang bimbang penularan Covid-19 selepas seorang pengguna Facebook memuat naik gambar wanita terbabit yang sedang menjamu selera di restoran itu.

Imej wanita yang memakai gelang pink yang dimuatnaik di laman sosial Facebook semalam
Imej wanita yang memakai gelang pink yang dimuatnaik di laman sosial Facebook semalam

"Wanita terbabit datang ke restoran saya kira-kira jam 6 petang semalam (Ahad) bersama ahli keluarganya dan rekod mengenainya telah diambil.

"Cuma ketika sedang menjamu selera, telah terkeluar gelang pink tersebut dan kakitangan kami telah menegur untuk kepastian sebelum anaknya memberi penjelasan ibunya bukan dikuarantin Covid-19 sebaliknya baru selesai menerima rawatan penyakit jantung.

"Selepas teguran itu, keluarga bersama wanita terbabit meninggalkan restoran dan gelang pink ditemui di pekarangan tempat letak kereta restoran. Gelang itu dibawa ke Hoshas untuk kepastian," katanya kepada Sinar Harian.

Muhamad Rizal Muhamad Rosely yang membuat laporan polis di IPD Temerloh hari ini
Muhamad Rizal Muhamad Rosely yang membuat laporan polis di IPD Temerloh hari ini

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh kira-kira jam 9.42 pagi tadi.

"Memang kami terkejut selepas gambar itu tular dan menerima pelbagai pertanyaan daripada pihak pelanggan dan pelbagai pihak yang gusar dengan situasi tersebut.

"Jadi kami berharap pengesahan ini dapat memperbetulkan silap faham yang berlaku serta mengembalikan keyakinan pelanggan terhadap restoran ini," ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman mengesahkan satu laporan polis telah dibuat pihak terbabit dan meminta orang ramai supaya merujuk pihak berkuasa untuk pengesahan.