Polis buru 12 lelaki bantu kes pukul ahli perniagaan

Soffian Santong
Soffian Santong
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes pukul seorang ahli perniagaan di pesisir pantai belakang sebuah hotel di Batu Feringghi malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, beberapa lelaki lagi yang didakwa terlibat dalam kejadian tersebut kini sedang diburu.

Menurutnya, dalam kejadian pada jam 10.30 malam itu, mangsa berusia 40-an mengalami retak di kedua-dua belah kakinya dan lebam di badan selepas dipukul menggunakan kayu dan tangan oleh kira-kira 15 lelaki lain.

"Mangsa datang ke negeri ini untuk bercuti tetapi ketika bersiar-siar di tepi pantai, dia dikatakan mengajak dua wanita berusia lingkungan 30-an untuk menemaninya dan salah seorang ialah warga Britain.

"Bagaimanapun, kedua-duanya wanita itu enggan menerima pelawaan mangsa lalu menjerit meminta tolong dan tiba-tiba sekumpulan 15 lelaki memukul mangsa sehingga cedera," katanya kepada pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini tadi.

Soffian berkata, siasatan mendapati semua lelaki termasuk tiga yang ditahan tidak mengenali antara satu sama lain dan mereka berada dalam kumpulan yang berlainan.

"Apabila mendengar mangsa menjerit, mereka terus datang untuk memberi pertolongan," katanya.

Tambahnya, mangsa dibenarkan keluar hospital dan dilaporkan stabil manakala dua wanita tersebut tidak membuat laporan polis.

Artikel Berkaitan: