Karbon monoksida gas bertoksik yang membunuh

Tiga sahabat maut akibat keracunan karbon monoksida selepas tertidur dalam kereta sewaktu berehat di parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth pada 16 September lepas.
Tiga sahabat maut akibat keracunan karbon monoksida selepas tertidur dalam kereta sewaktu berehat di parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth pada 16 September lepas.
A
A
A

DI Malaysia, kejadian individu mati lemas ketika tidur akibat terhidu gas karbon monoksida dalam kereta yang dihidupkan enjinnya telah beberapa kali direkodkan berlaku.

Karbon monoksida terdiri daripada satu unsur karbon dan satu unsur oksigen yang mana ia adalah sejenis gas toksik yang tidak berwarna, berbau dan berasa yang kurang padat sedikit daripada udara dengan formula kimia CO.

Gas itu toksik kepada manusia dan haiwan apabila didapati dalam kepekatan tinggi kerana mengakibatkan gangguan pada darah.

Dalam atmosfera, keterdapatannya berbeza mengikut tempat, ia berjangka hayat pendek dan mempunyai peranan dalam penghasilan ozon paras bumi.

Dalam keadaan semula jadi, sumber terbesar karbon monoksida adalah daripada tindak balas fotokimia di troposfera yang menjana kira-kira 5 × 1,012 kilogram sebatian ini setahun.

Sumber semula jadi CO lain termasuklah gunung berapi, kebakaran hutan dan bentuk pembakaran lain.

Lazimnya, gas beracun karbon monoksida terhasil daripada pembakaran bahan bakar tanpa oksigen yang mencukupi untuk menghasilkan karbon dioksida (CO2).

Semua orang berisiko mendapat keracunan CO jika terdedah kepada gas tersebut. Bagaimanapun, kumpulan tertentu lebih berisiko berbanding kumpulan yang lain dari segi kesihatan apabila terdedah kepada gas ini.

Artikel Berkaitan:

Kumpulan tersebut adalah orang tua, kanak-kanak, mereka yang menghidap masalah pernafasan dan jantung, mereka yang menghidap masalah kekurangan darah serta mereka yang menghidap masalah sawan.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 1992, dinyatakan di kawasan bandar 90 peratus daripada CO di udara berasal daripada kenderaan bermotor.

Keracunan CO adalah kondisi yang mana seseorang mengalami keracunan akibat terlalu banyak menyedut CO. Ketika terlalu banyak CO di udara, tubuh menggantikan oksigen dalam sel darah merah dengan CO sehingga menyebabkan kerosakan jaringan yang serius, bahkan kematian.

Keracunan CO merupakan punca utama kematian akibat keracunan. Justeru, keracunan CO juga merupakan kaedah yang paling biasa digunakan untuk membunuh diri, iaitu dengan sengaja menyedut asap ekzos yang dihasilkan oleh enjin kereta yang hidup.

Umumnya, keracunan CO tidak memerlukan kuantiti yang banyak. Kadar yang rendah sudah cukup untuk membuatkan seseorang tidak sedarkan diri.

Keracunan

Menurut Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat, 50,000 pesakit dimasukkan ke hospital di negara itu setiap tahun dan 430 mati akibat keracunan CO.

Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Profesor Dr Wong Shaw Voon berkata, kematian boleh berlaku apabila penumpang menghidu gas CO yang melebihi tahap selamat dalam ruang sesebuah kenderaan.

Ketidaksempurnaan itu biasanya berlaku kepada kenderaan lama, tetapi tidak bermakna ia tidak boleh berlaku kepada kenderaan baharu kerana ia bergantung sepenuhnya kepada penggunaan dan penyelenggaraan sesebuah kenderaan.

Yang paling utama, jika seseorang mengalami tanda-tanda keracunan CO, mereka perlu keluar dari kawasan yang tertutup; mematikan/menutup peralatan pembakaran atau relau; membuka semua tingkap; bertenang iaitu hindari daripada menjadi cemas dan hadkan aktiviti fizikal kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan serta mendapatkan pertolongan perubatan jika keadaan menjadi bertambah teruk.

Justeru, sangat penting mendapatkan nasihat perubatan dengan segera jika mengalami tanda-tanda amaran seperti sakit dada, susah bernafas, kebingungan/kekeliruan dan sawan bagi mengelakkan kehilangan nyawa. Gas CO berupaya membunuh, ambil tahu dan sayangi nyawa kita!